MALAYSIA akan terus memperkukuhkan benteng siber negara dengan melindungi infrastruktur kritikal, meningkatkan kesedaran awam serta mempertingkatkan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dari segi perundangan, Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.
“Pada masa sama, setiap individu juga harus memainkan peranan dalam melindungi data peribadi apabila berurusan dalam talian.
“Antaranya menerusi penggunaan MyDigital ID, yang pendaftarannya kini mencatat purata 25,000 pengguna sehari hasil integrasi dengan aplikasi seperti MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025 di Putrajaya, semalam.
Anwar berkata, Komitmen Malaysia turut dizahirkan di peringkat global apabila masa terdekat, negara akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam.
Kata beliau, ia sebagai bukti kesungguhan Malaysia memperkukuh kerjasama antarabangsa menentang jenayah digital.
Beliau turut menekankan keperluan untuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan ditangani menerusi lensa keselamatan.
“Negara tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing, sebaliknya perlu membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan berdaulat bagi melindungi maklumat terperingkat dan aset strategik negara,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat juga menegaskan kepentingan pembangunan teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC) bersama Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA), penyelidik dan industri.
“Usaha ini diyakini akan memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal, membendung jenayah siber, dan memastikan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat terus terjamin,” kata beliau. — Edisi 9

