Thursday, June 4, 2026

Khutbah Jumaat: Luka Gaza, duka umat sejagat

Bayangkan keamanan yang kita kecapi sekarang direnggut. Bayangkan kanak-kanak yang suci dimusnahkan masa depan mereka kerana sekolah tempat mereka belajar dimusnahkan.

Mesti Baca

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita diberikan petunjuk dan kekuatan. 

Sebelum itu, sidang mimbar ingin berpesan supaya kita berikan sepenuh tumpuan kepada isi kandungan khutbah hari ini.

Jauhilah segala perbuatan yang boleh menghilangkan pahala Jumaat. Marilah bersama menghayati khutbah hari ini yang bertajuk Luka Gaza, Duka Umat Sejagat.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Saban Jumaat silih berganti kita berkumpul di rumah Allah ini. Pelbagai nikmat telah kita rasai baik nikmat kesihatan, nikmat keamanan dan paling besar nikmat Iman dan Islam. 

Sebagai hamba-Nya, kita tiada pilihan selain daripada menunjukkan rasa syukur kita ke hadrat-Nya daripada lubuk hati lalu diterjemahkan kepada lisan dan amal.

Justeru mari kita bandingkan pula keadaan kita dengan keadaan terkini saudara kita di Gaza. 

Khatib sangat yakin bahawa sidang jemaah sudah maklum akan perihal mereka. Namun, adakah kita benar-benar memahami perincian penderitaan mereka? 

Mari kita lihat bukan dengan mata emosi semata-mata, tetapi dengan mata hati yang disuluh oleh realiti.

Bayangkan keamanan yang kita kecapi sekarang direnggut. Bayangkan kanak-kanak yang suci dimusnahkan masa depan mereka kerana sekolah tempat mereka belajar dimusnahkan. Itulah nasib 70 peratus sekolah di Gaza.

Bayangkan pula kehidupan yang serba daif itu diranapkan lagi dengan kehancuran hospital-hospital tempat mencari rawatan. Itulah nasib 94 peratus hospital di sana. 

Institusi-institusi yang menjadi tunjang keberlangsungan manusia semuanya kini tinggal debu-debu dihancurkan.

Tambahan pula, data terkini menunjukkan 61,805 rakyat Gaza yang telah terbunuh sepanjang peperangan terkini. 

Fakta ini bukan angka semata-mata, satu jiwa yang terbunuh pun sudah menjejaskan pelbagai pihak bayangkan puluhan ribu jiwa yang melayang. 

Lebih dahsyat sebahagian besar mereka terdiri daripada anak-anak kecil, wanita malah petugas media yang tiada kepentingan juga turut terkorban. 

Rejim Zionis tidak lagi malu untuk menunjukkan sifat syaitan mereka ke khalayak umum. 

Jelaslah, jumlah ini bukan lagi sekadar kerosakan akibat perang. Ini adalah pemadaman sebuah kehidupan secara terancang.

Kita jika mahu menjadi mukmin yang sebenar, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk cakna akan hal mereka dan berusaha sedaya upaya membantu mereka sebagaimana firman Allah SWT yang dibacakan di awal khutbah Surah al-Anfaal ayat 74 yang bermaksud: 

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.”

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertanya pada diri kita. Di mana Palestin di hati kita? Adakah ia sekadar isu kemanusiaan? 

Mengapa kita sebagai muslim di Malaysia perlu cakna dengannya? Ketahuilah, Palestin bukan sekadar sebidang tanah.

Tanah ini ialah Bumi Para Anbiya, tanah suci pilihan Allah SWT yang menjadi saksi akan jejak langkah para nabi yang diutuskan. 

Bahkan merupakan destinasi junjungan besar Baginda SAW sebelum diangkat menghadap Allah SWT di Sidratul Muntaha, mengimamkan solat para anbiya di Masjid al-Aqsa.

Tambahan pula, umat Islam pada awalnya diperintahkan Allah SWT untuk menghadap Masjid Al-Aqsa sebagai kiblat sebelum dimansuhkan hukumnya dan Kaabah menjadi kiblat umat Islam sehingga kini. 

Bahkan, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiyallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”

Berdasarkan fakta-fakta ini, maka jelaslah bahawa isu Palestin ini perlu menjadi keutamaan kita. 

Solidariti kita buat mereka tidak terhenti sekadar kemanusiaan tetapi perlu bertunjangkan keimanan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Sekarang kita tidak mahu berhenti persoalan kita pada apa yang berlaku? Bagaimana keadaan mereka? 

Namun persoalan yang perlu kita tanya pada diri kita apakah tindakan kita?

Jika kita percaya isu Gaza ini isu keimanan, iman tidak hanya disimpan di dalam hati tetapi iman menuntut tindakan. 

Ada beberapa langkah yang boleh kita ambil sebagai tanda solidariti kita terhadap isu Gaza ini.

Antaranya, menjadi penyampai kebenaran. Setiap kita mempunyai media sosial yang kita lawati setiap hari. 

Teknologi yang ada ini biarlah dijadikan lubuk pahala kita dengan mencetuskan gelombang melawan pembohongan dan propaganda musuh dengan fakta yang sahih. 

Gunakan media sosial bukan untuk meluah emosi kosong, tetapi untuk mendidik masyarakat.

Kongsikan data kekejaman yang berlaku di Palestin. Jangan biarkan dunia lupa. Suara kita adalah senjata untuk melawan naratif palsu mereka.

Selain itu, rancakkan bantuan-bantuan fizikal semampu kita. Teruskan berinfak melalui saluran dan NGO yang terbukti audit mereka sampai ke penduduk Palestin. 

Pastikan setiap sen yang kita sumbangkan sampai kepada mereka yang memerlukan. 

Biarlah sebahagian daripada rezeki yang Allah berikan kepada kita menjadi saksi di akhirat kelak bahawa kita tidak pernah membiarkan saudara kita kelaparan seorang diri. 

Sekecil mana bantuan yang kita berikan boleh jadi besar nilainya kepada mereka di sana.

Di samping itu, jangan kita lupa doa ialah senjata kita yang paling ampuh. Jangan sesekali meremehkannya. 

Titipkan peluru-peluru doa kita sebagai bantuan kita terhadap rakyat Palestin dalam setiap solat, terutamanya dalam Qunut Nazilah. 

Tadahlah tangan kita berdoa dengan sepenuh keyakinan.Minta kekuatan untuk mereka dan minta kehancuran bagi musuh yang zalim. Doa adalah bukti pergantungan kita kepada Yang Maha Kuasa.

Yang terakhir, bantuan terbesar untuk Palestin adalah dengan kita menjadi Muslim yang lebih kuat.

Dirikan solat dengan sebenar-benarnya, perbanyakkan taubat serta eratkan perpaduan sesama kita. Umat yang berpecah adalah umat yang lemah.

Kemenangan Palestin bermula dengan kemenangan kita melawan nafsu dan kelemahan diri sendiri. Umat yang kuat lahir dari individu yang bertakwa.


Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 22 Ogos 2025

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan