Thursday, June 4, 2026

Pemuda Kapar desak tindakan disiplin ke atas Lokman Adam

Tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab ini telah mencemarkan imej seorang Ahli MKT, merendahkan maruah kepimpinan Pemuda UMNO...

Mesti Baca

PEMUDA UMNO Kapar hari ini mendesak agar Datuk Lokman Noor Adam dirujuk ke Lembaga Disiplin parti kerana didakwa secara jelas melanggar disiplin parti, mencemarkan nama baik UMNO serta menjejaskan maruah kepimpinan parti. 

Ketuanya, Mohd Affifi Mohd Aris berkata, ini susulan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu yang melakukan “serangan” terbuka terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh menerusi media sosial.

Mohd Affifi berkata, menerusi rakaman yang tular dalam media sosial itu, Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO menuduh Dr Akmal sebagai “Ketua Pemuda H2O” yang dipercayai merujuk kepada bekas Naib Presiden UMNO yang sedang digantung keahliannya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Di dalam video tersebut, Lokman Noor Adam secara terbuka dan berulang kali telah menggelar Datuk Dr. Akmal sebagai “Ketua Pemuda H2O” dan menuduh beliau mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan H2O sebagai Perdana Menteri. 

“Tuduhan berat ini bukan sahaja fitnah, malah berniat memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan kepimpinan parti UMNO pada hari ini.

LOKMAN NOOR ADAM

“Tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab ini telah mencemarkan imej seorang Ahli MKT, merendahkan maruah kepimpinan Pemuda UMNO dan menanam persepsi negatif terhadap pucuk pimpinan parti. 

“Perbuatan ini jelas membelakangi semangat solidariti dan setiakawan sesama ahli UMNO, malah secara langsung menimbulkan defisit kepercayaan di kalangan ahli serta akar umbi terhadap kewibawaan MKT sendiri,” katanya menerusi surat aduan kepada Pengerusi Lembaga Displin UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun hari ini.

Mohd Affifi berkata, Lokman juga telah menimbulkan polemik baharu yang merugikan parti, dengan menyerang sesama sendiri pada ketika UMNO sepatutnya memperkukuh kekuatan serta menyusun strategi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Sikap tidak beretika ini, tegas beliau, hanya menguntungkan pihak lawan politik dan melemahkan kedudukan UMNO di mata rakyat.

Sehubungan itu, beliau mendesak Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan tegas serta sewajarnya terhadap Lokman Noor Adam di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO. 

“Tindakan disiplin yang keras wajar dikenakan agar menjadi pengajaran kepada mana-mana ahli yang bertindak sesuka hati, melanggar tataetika parti serta merosakkan imej UMNO di mata rakyat,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan