Tuesday, June 16, 2026

DVS nafi sistem eVetPermit lambatkan proses kelulusan

Sehingga 17 Ogos 2025, sebanyak 424 permit telah diluluskan melalui sistem baharu ini, dengan 385 permit melibatkan pemindahan dalam negeri Terengganu...

Mesti Baca

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) menafikan dakwaan sistem eVetPermit 3.0 yang diperkenalkan awal bulan ini menyebabkan kelewatan proses kelulusan permit pemindahan ternakan hingga mengakibatkan kematian haiwan seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Sebaliknya, jabatan itu menegaskan tempoh kelulusan permit kekal antara satu hingga tiga hari bekerja bagi permohonan yang memenuhi syarat ditetapkan.

Menurut DVS, sistem tersebut yang beroperasi sejak 3 Ogos lalu di seluruh Semenanjung Malaysia merupakan penambahbaikan proses sedia ada dengan memberi kemudahan permohonan secara dalam talian, termasuk pemuatan dokumen sokongan.

“Sehingga 17 Ogos 2025, sebanyak 424 permit telah diluluskan melalui sistem baharu ini, dengan 385 permit melibatkan pemindahan dalam negeri Terengganu, manakala 39 permit melibatkan pemindahan antara negeri. 

“Semua permohonan ini diproses dan diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPVNT),” katanya dalam satu kenyataan.

Selasa lalu media melaporkan bahawa pelaksanaan sistem eVetPermit 3.0 yang diperkenalkan jabatan itu dibantah oleh  penternak.

Mereka mendakwa penggunaan sistem tersebut melambatkan proses pengeluaran permit sehingga ada ternakan yang mati sebelum dipindahkan.

DVS menegaskan, dakwaan kelewatan sehingga 42 hari adalah tidak berasas kerana prosedur vaksinasi hanya dikenakan terhadap ternakan yang tidak mempunyai rekod kesihatan atau sumber jelas.

“Bagi ternakan tempatan yang telah divaksin, pemindahan boleh dilakukan segera tanpa perlu melalui proses vaksinasi P1 dan P2. 

“Namun bagi ternakan tanpa rekod kesihatan, vaksinasi wajib dijalankan kerana ternakan yang tidak divaksin terdedah kepada risiko jangkitan penyakit,” jelas kenyataan itu.

Mengikut peraturan, ternakan berisiko perlu menjalani dua dos vaksin Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) dengan jarak 28 hingga 35 hari, selain dikuarantin di bawah Seksyen 18(2) Akta Binatang 1953.

Sehingga Julai 2025, JPVNT telah melaksanakan sebanyak 11,098 suntikan vaksin FMD daripada jumlah tahunan 15,000 hingga 16,000 dos, sebagai langkah kawalan penyakit di negeri itu.

DVS turut menegaskan, pihaknya melalui JPV negeri sentiasa komited membantu penternak dengan menyediakan khidmat nasihat, kaunter pendaftaran, urusan vaksinasi serta sokongan teknikal bagi melancarkan proses pemindahan ternakan.

“Industri penternakan perlu memberi kerjasama penuh terhadap pelaksanaan sistem ini kerana ia bertujuan mengurangkan risiko penularan penyakit yang boleh menjejaskan sektor ternakan negara,” tambah kenyataan itu. — Edisi 9

Related posts:

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan