JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) memandang serius isu pemalsuan dokumen Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dengan menyalahgunakan nama dan cap jabatan itu.
DVS berkata, pemalsuan dokumen SKV boleh memberi implikasi negatif kepada reputasi jabatan, negara serta hubungan dagangan antarabangsa.
Sehubungan itu, DVS tidak teragak-agak untuk mengambil
tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dan boleh didakwa di bawah Seksyen 463 atau 464 Kanun Keseksaan [Akta 574].
Ia susulan laporan yang diterima daripada pihak berkuasa Turkiye mengenai dokumen SKV yang menggunakan nama dan cap DVS bersama produk makanan laut yang dieksport ke negara itu.
“Hasil siasatan mendapati bahawa SKV tersebut tidak dikeluarkan oleh DVS, dan nama, cap serta tandatangan pegawai telah dipalsukan bagi tujuan pengeksportan produk makanan laut ke negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DVS menjelaskan, peruntukan kuasa di bawah Akta Binatang 1953 tidak
merangkumi produk makanan laut dan tiada SKV dikeluarkan bagi produk sedemikian.
“Adalah menjadi tanggungjawab pengeksport untuk mendapatkan Sijil Kesihatan daripada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya. – Edisi 9