PENUBUHAN pakatan BRICS dijangka membuka potensi yang lebih besar terutama dalam bidang pensijilan dan pengiktirafan pasaran halal, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, negara-negara BRICS termasuk China, India dan Rusia memiliki ruang yang signifikan untuk diterokai bersama.
Beliau berkata, di negara-negara ASEAN pula, rantau ini telah menyumbang lebih USD1.4 trilion (RM6.25 trilion) bagi pasaran halal global.
“Dengan memanfaatkan rangka kerja BRICS dan ASEAN, kerjasama antara Malaysia dan China dilihat berupaya menguasai sebahagian besar pasaran dan memacu industri ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengikuti sesi Dialog Gerbang Halal Malaysia-China di Shanghai, hari ini.
Dialog yang disertai lebih 30 syarikat itu anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan kerjasama China Silk Road Group Ltd.
Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) bagaimanapun berkata, isu mengenai pengiktirafan pensijilan halal masih menjadi salah satu cabaran utama yang perlu ditangani.
Sehingga kini, kata beliau, Malaysia telah mengiktiraf 88 badan pensijilan di seluruh dunia termasuk enam daripadanya dari China.
Katanya, langkah untuk menyelaraskan piawaian oleh badan-badan pensijilan halal tersebut telah dimulakan dan sedang di dalam proses untuk mencapai kesepakatan terbaik.
Oleh itu, kata Timbalan Perdana Menteri, forum tersebut merupakan salah satu usaha bagi menyediakan platform terbaik untuk meneroka penyelesaian, menyelaraskan proses pensijilan serta meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Meskipun begitu, Malaysia kekal komited untuk menyokong syarikat-syarikat China dengan pensijilan halal, perundingan, latihan dan kemudahan perdagangan melalui HDC.
“Objektif kita jelas bagi memudah cara proses perniagaan China yang memenuhi standard halal untuk memasuki pasaran Malaysia sebelum ianya berkembang lebih jauh ke pasaran halal global,” katanya.
Pada masa yang sama, Zahid berkata, Malaysia juga perlu mengiktiraf kepentingan diplomasi halal serta menghargai perkongsian dan kerjasama yang telah dimeterai.
Dengan itu, katanya, kedua-dua negara boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing, berkongsi kepakaran dan memastikan produk halal yang dipasarkan mampu memenuhi piawaian tertinggi untuk pengguna Muslim di seluruh dunia. – Edisi 9