Saturday, June 13, 2026

Anwar cemerlang pimpin ASEAN, tangani konflik Thailand-Kemboja

Konflik yang tercetus selama lima hari sejak 23 Julai itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 36 nyawa dan menyebabkan hampir 300,000 penduduk terpaksa berpindah...

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PERANAN Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menyelesaikan konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja mendapat pujian pelbagai pihak.

Hal ini apabila genjatan senjata tanpa syarat berjaya dicapai pada 28 Julai lalu, hasil rundingan diplomatik yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu mesyuarat khas yang diadakan secara tergempar di Putrajaya, Malaysia berjaya menghimpunkan dua pihak yang bertelagah – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai – bagi mencari penyelesaian segera terhadap pertempuran berdarah di sempadan.

Konflik yang tercetus selama lima hari sejak 23 Julai itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 36 nyawa dan menyebabkan hampir 300,000 penduduk terpaksa berpindah dari kawasan berisiko tinggi.

Melalui pendekatan diplomasi muafakat ala-ASEAN yang menekankan perundingan dan keharmonian serantau, kedua-dua negara bersetuju untuk menghentikan segala bentuk permusuhan tepat pukul 12 tengah malam pada 28 Julai lalu.

Penganalisis melihat kejayaan ini sebagai isyarat bahawa ASEAN, di bawah teraju Malaysia, masih berperanan besar dalam mengekalkan kestabilan serantau meskipun dunia sedang berdepan cabaran geopolitik yang semakin mencabar.

Malaysia turut mencadangkan pembentukan pasukan pemerhati ASEAN bagi memastikan pematuhan genjatan senjata secara berterusan, sebagai satu langkah praktikal dan progresif ke arah perdamaian jangka panjang.

Langkah susulan telah dimulakan seawal pagi 29 Julai dengan pertemuan tidak rasmi antara komander tentera dari kedua-dua negara di sempadan.

Jika mencapai kata sepakat, mesyuarat selanjutnya akan melibatkan pegawai pertahanan kanan dan wakil diplomatik ASEAN.

Pada 4 Ogos nanti, Mesyuarat General Border Committee (GBC) dijadualkan berlangsung di Kemboja bagi membincangkan isu sempadan secara menyeluruh yang bakal menjadi satu pertemuan penting yang dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara Bangkok dan Phnom Penh.

Sumbangan antarabangsa juga memainkan peranan penting. Amerika Syarikat melalui Presiden Donald Trump memberi tekanan diplomatik dan ekonomi dengan memberi amaran kemungkinan pengenaan tarif sehingga 36 peratus ke atas eksport dari kedua-dua negara jika keganasan diteruskan.

China pula mengambil pendekatan yang lebih tenang, bertindak sebagai pemerhati konstruktif dan menyokong penuh proses damai yang diketuai ASEAN.

Anwar menegaskan bahawa kejayaan ini bukan milik Malaysia semata-mata, tetapi bukti bahawa ASEAN mampu berdiri di atas kaki sendiri dalam menangani konflik serantau.

“Kita tidak mahu Asia Tenggara menjadi medan kuasa besar. Keamanan harus dipimpin oleh kita, untuk rakyat kita,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mesyuarat di Putrajaya.

Jelas, konflik Thailand-Kemboja membuka lembaran baharu terhadap bagaimana ASEAN boleh memainkan peranan lebih aktif dalam penyelesaian krisis.

Kejayaan genjatan senjata ini membuktikan bahawa pendekatan diplomasi aman, dialog terbuka, serta kepimpinan tegas tetapi adil adalah kunci kepada penyelesaian damai yang berkesan.

Malaysia, di bawah pimpinan Anwar, bukan sahaja berjaya memimpin ASEAN dari sudut politik, malah membuktikan keupayaan sebagai jambatan ke arah keamanan dan pembangunan serantau yang mampan. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan