Wednesday, July 22, 2026

FELDA berjaya miliki lebih 90 peratus saham FGV

Difahamkan FELDA akan menyahsenarai FGV dari Bursa Malaysia setelah menguasai lebih 90 peratus penguasaan dalam syarikat terbabit.

Mesti Baca

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berjaya mencapai pemilikan melebihi 90 peratus saham dalam FGV Holdings Berhad (FGV) melalui Tawaran Pengambilalihan Sukarela (VTO) yang sedang berlangsung.

Menurut kenyataan FELDA, tawaran tersebut masih dibuka untuk penerimaan sehingga jam 5 petang,15 Ogos dan FELDA menggalakkan semua pemegang saham yang belum menerima tawaran untuk berbuat demikian sebelum tempoh tamat.

“Pengambilalihan saham FGV ini bukan sahaja membuka jalan ke arah pemerkasaan Kumpulan FELDA yang lebih mampan dan berfokus, tetapi juga selari dengan aspirasi FELDA dalam menjayakan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025–2030.

“Usaha ini diyakini akan mempertingkatkan daya saing serta menjamin pulangan jangka panjang kepada warga peneroka dan semua pemegang taruh,” kata FELDA dalam kenyataan ringkas hari ini.

Difahamkan FELDA akan menyahsenarai FGV dari Bursa Malaysia setelah menguasai lebih 90 peratus penguasaan dalam syarikat terbabit.

Memetik laporan media, pada Mei lalu, FELDA mengemukakan tawaran pengambilalihan untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian pada harga RM1.30 sesaham.

FELDA ketika ini memiliki 81.92 peratus FGV.

Saham FGV yang digantung kali terakhir diniagakan pada RM1.28 sesaham, menjadikan nilai syarikat itu RM4.7 bilion.

Dalam satu makluman Maybank Investment Bank kepada FGV yang juga penerima tawaran, beberapa terma dan syarat dinyatakan iaitu pihak pemberi tawaran akan membayar kepada pemegang saham yang menerima tawaran itu satu imbuhan tunai sebanyak RM1.30 sesaham mengikut kaedah penyelesaian yang dinyatakan.

Sehingga 20 Mei, iaitu tarikh praktikal terakhir sebelum tarikh notis (LPD), FGV mempunyai modal saham diterbit sebanyak RM7.030 bilion, merangkumi 3.648 bilion saham biasa dan satu saham khas yang dipegang oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan