Wednesday, July 22, 2026

Jabatan Perikanan pandang serius isu usik penyu di Cherating

Mana-mana individu yang didapati mengganggu, menangkap, atau memusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985.

Mesti Baca

JABATAN Perikanan Negeri Pahang memandang serius insiden beberapa individu yang mengganggu seekor penyu agar di pantai Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, kelmarin.

Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 6.45 pagi itu, apabila seekor penyu yang sedang naik ke pantai dipercayai untuk bertelur telah diperlakukan dengan kejam oleh tiga individu tidak dikenali. 

“Jabatan telah menjalankan siasatan awal di lokasi dan membuat laporan polis di Balai Polis Cherating. 

“Usaha pengesanan dan tindakan susulan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata, penyu adalah spesies yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan kejadian seperti itu mencerminkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin yang semakin terancam.

Tambah beliau, mana-mana individu yang didapati mengganggu, menangkap, atau memusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM500 dan tidak melebihi RM20,000.

“Jabatan Perikanan Negeri Pahang juga ingin menegaskan bahawa pemantauan berterusan sedang dijalankan di lokasi-lokasi pendaratan penyu utama seperti Pulau Tioman, Kuala Rompin, Pantai Cherating dan Tanjung Batu Nenasi di Pekan,” katanya.

Roslan turut menyeru kerjasama komuniti setempat dan pengusaha pelancongan agar bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian sumber marin negeri ini. 

“Laporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan agar penyu-penyu ini terus selamat dan dapat terus mendarat di perairan kita,” katanya.

Jabatan Perikanan Negeri Pahang akan terus komited dalam usaha perlindungan penyu serta menjalankan aktiviti pendidikan dan kesedaran awam secara berterusan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan