Tuesday, July 21, 2026

Malaysia, Indonesia kukuhkan hubungan strategik serumpun

Pembukaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin akan menjadi pemangkin baharu kepada kesejahteraan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

MALAYSIA dan Indonesia hari ini memperkukuh hubungan strategik dua hala menerusi Perundingan Tahunan Ke-13, sekali gus menandakan komitmen kedua-dua negara serumpun untuk terus bekerjasama secara lebih erat dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah mencatatkan pencapaian penting termasuk menyelesaikan isu sempadan maritim dan darat yang tertangguh selama lebih 45 tahun.

“… ia bukan sekadar proses diplomatik biasa, tetapi satu iltizam kenegaraan yang berpasak pada pragmatisme,” katanya dalam kenyataan selepas rundingan tersebut di Jakarta hari ini.

Menurut Anwar, kedua-dua pemimpin turut menzahirkan komitmen untuk terus membela nasib rakyat terutama golongan nelayan, pekerja migran dan komuniti sempadan, dengan pendekatan yang berpaksikan maruah dan nilai kemanusiaan.

“Kita sepakat bahawa penyelesaian sempadan adalah lambang kedaulatan dan keyakinan bersama.

“Justeru, pembukaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin akan menjadi pemangkin baharu kepada kesejahteraan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan,” katanya.

Dalam rundingan tersebut, Malaysia dan Indonesia turut membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang kesihatan, pendidikan tinggi, industri halal serta pendigitalan yang dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi kedua-dua negara.

“ Walhasil, ia pastinya akan menyumbang ke arah pengukuhan hubungan dua negara, selain merintis hala tuju masa depan ASEAN yang lebih bersatu dan bersedia mendepani cabaran global, dari Myanmar hingga Gaza,” katanya lagi.

Mengulas peranan Malaysia dalam kerangka ASEAN, Anwar menegaskan bahawa negara ini tidak akan berganjak daripada prinsip keadilan, keamanan dan budaya wacana yang sihat.

“Malaysia tidak akan memilih jalan selesa atau sekadar reaktif. Kita memimpin dengan agenda yang jelas, membina dengan nilai dan bergerak atas kekuatan prinsip,” ujarnya.

Rundingan tahunan tersebut menjadi medan penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan sosial antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara jiran terdekat serta anggota teras ASEAN. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan