USAHA memperkasa usahawan wanita mikro, kecil dan sederhana (PMKS) semakin mendapat perhatian apabila Universiti Malaya (UM) melalui Pusat Komuniti dan Kelestarian (UMCares) melaksanakan bengkel digitalisasi kewangan di Ipoh dan Taiping baru-baru ini.
Program selama empat hari bermula 1 hingga 4 Julai itu dianjurkan dengan kerjasama Wanita Perak dan Pertubuhan Prihatin Wanita Perak khusus untuk membantu golongan usahawan wanita mengurus perniagaan secara lebih sistematik menggunakan teknologi digital.
Menurut penyelaras program, Prof. Dr. Anna Azriati Che Azmi, pendekatan ini penting bagi memastikan usahawan wanita tidak terus ketinggalan dalam era digital yang semakin mencabar.
“Ramai usahawan wanita sebenarnya sudah pun menggunakan media sosial seperti TikTok dan WhatsApp untuk berniaga. Namun, kebanyakan mereka belum lagi mengasingkan antara kewangan peribadi dan perniagaan,” kata pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM itu.
Tambah beliau, antara fokus utama bengkel ialah memperkenalkan aplikasi perakaunan seperti Zoho Books kepada peserta, bagi membantu mereka merekod dan mengurus transaksi perniagaan dengan lebih tersusun.
“Kita mahu mereka lebih celik digital, bukan sekadar untuk promosi, tetapi juga dalam urusan penting seperti pengurusan kewangan dan aliran tunai. Ini sangat penting untuk pastikan perniagaan kekal mampan,” ujar beliau.
Selain aspek digital, program itu turut mengetengahkan kesedaran terhadap amalan perniagaan yang selamat, bersih dan lestari seperti penggunaan bahan kitar semula dan peralatan penyediaan makanan yang mematuhi standard kebersihan.
Sementara itu, peserta bengkel menyuarakan rasa gembira dan teruja kerana diberi peluang memahami penggunaan teknologi yang selama ini dianggap sukar.
“Lepas belajar guna aplikasi kira-kira ni, baru saya nampak dengan jelas duit masuk dan keluar. Rasa lebih yakin nak rancang untuk kembangkan perniagaan,” kata seorang peserta.
Sementara itu, pembimbing program, Dr Norazlin Ab Aziz berkata, bimbingan susulan sangat penting agar peserta tidak rasa ditinggalkan selepas latihan.
“Kita faham mereka ada kekangan masa, kadang-kadang takut dengan perkara teknikal. Tapi dengan sokongan berterusan, insya-Allah mereka boleh mahir dan yakin,” katanya.
Beliau turut berharap inisiatif seperti ini dapat diperluaskan ke daerah lain dan menyasarkan lebih ramai golongan wanita luar bandar. – Edisi 9

