Wednesday, June 17, 2026

Saring data ‘big tech’: Jangan hanya salahkan kerajaan – Pakar

Mereka langsung tidak menyoal bagaimana syarikat seperti Meta, ByteDance dan X meraih keuntungan besar hasil profil digital pengguna.

Mesti Baca

KETIKA rakyat Malaysia semakin aktif dalam dunia digital dengan lebih 25.1 juta pengguna media sosial direkodkan setakat 1 Januari 2025, masih ramai tidak sedar bahawa mereka mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi secara sukarela kepada syarikat teknologi asing tanpa sebarang kawalan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. M. Selvakumar berkata, kebanyakan pengguna berkongsi lokasi, tabiat harian, keutamaan malah maklumat sensitif seperti sekolah anak, rekod vaksinasi dan rancangan percutian tanpa memikirkan implikasi keselamatan jangka panjang.

“Sedangkan ramai yang lantang mempertikaikan pengumpulan data oleh agensi kerajaan, mereka langsung tidak menyoal bagaimana syarikat seperti Meta, ByteDance dan X (dahulu Twitter) meraih keuntungan besar hasil profil digital pengguna,” katanya hari ini.

Beliau turut membangkitkan insiden skandal Cambridge Analytica yang melibatkan Facebook, apabila data peribadi pengguna disalah guna untuk manipulasi politik secara bersasar, iaitu satu titik hitam dalam sejarah privasi digital global.

Menurut beliau, paradoks yang berlaku kini ialah masyarakat terlalu cepat menuduh kerajaan apabila data digunakan untuk tujuan keselamatan atau penambahbaikan sistem.

Sedangkan, kata beliau, tiada bantahan serius terhadap platform percuma yang menggondol maklumat besar-besaran demi keuntungan komersial.

PROF DR. M. SELVAKUMAR

“Tiada benda yang benar-benar percuma. Apabila anda mendaftar ke aplikasi atau permainan, anda sebenarnya membayar dengan data peribadi, termasuk corak penggunaan, lokasi, kenalan dan lain-lain,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut menbidas sikap pengguna yang meluluskan terma dan syarat tanpa membacanya, sekali gus membenarkan syarikat asing membina empayar teknologi berasaskan maklumat peribadi tanpa kawalan.

“Google dan Apple sudah memantapkan strategi pengumpulan data menerusi pelbagai aplikasi dan perkhidmatan. 

“Dari suara yang dirakam oleh Siri dan Google Assistant, sehinggalah lokasi dan foto yang dimuat naik ke iCloud, semuanya dikumpul secara berterusan,” tegasnya.

Selvakumar berkata, keutamaan harus diberi kepada keadilan, ketelusan dan keizinan yang sah dalam semua bentuk pengumpulan data, baik oleh kerajaan mahupun sektor swasta.

“Adalah tidak adil apabila dasar kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan siber negara dikritik hebat, sedangkan pelanggaran privasi oleh entiti luar dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya.

Tambah beliau, data yang dikumpul secara bertanggungjawab amat penting dalam usaha membanteras jenayah siber seperti penipuan dalam talian, buli siber dan pencurian identiti – isu yang semakin menular di negara ini.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan mana-mana inisiatif kerajaan bergantung kepada integriti dan ketelusan badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“SKMM mesti memastikan data yang dikumpul disimpan dan dilindungi mengikut piawaian antarabangsa tertinggi, dengan pengawasan yang ketat untuk mengelakkan kebocoran maklumat,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk melihat isu data ini secara adil dan rasional, dan bukan dengan emosi atau sentimen tidak berasas.

“Daripada terus berdebat tanpa kesudahan, lebih baik kita bersatu menyokong usaha kerajaan membina ekosistem digital yang selamat dan efisien. Keselamatan rakyat Malaysia perlu diutamakan melebihi dakwaan privasi yang belum tentu sahih,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan