Sunday, July 19, 2026

Exabytes lancar CCoE AWS pertama, bangun bakat awan serantau

Exabytes menaja 20 pelajar daripada kumpulan B40 untuk melanjutkan pengajian tinggi di Forward College dan menawarkan tiga tahun bekerja di Exabytes selepas tamat pengajian.

Mesti Baca

SYARIKAT penyedia penyelesaian digital terkemuka, Exabytes, melakar satu lagi pencapaian penting apabila melancarkan Pusat Kecemerlangan Awan (CCoE) yang pertama di utara Malaysia dengan kerjasama Amazon Web Services (AWS) dan Forward College.

Berpusat di Pulau Pinang  yang digelar Lembah Silikon Malaysia, inisiatif ini disasar menjadi pemangkin kepada transformasi digital, pembangunan bakat awan dan kecemerlangan teknologi di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes, Chan Kee Siak, penubuhan CCoE merupakan komitmen syarikat dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada teknologi digital, di samping melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan.

“Kami bukan sahaja mempercepatkan penggunaan teknologi awan, malah turut membuka peluang kepada golongan belia, terutama daripada komuniti B40, untuk menceburi kerjaya digital bernilai tinggi,” katanya.

Sebagai bukti komitmen kepada pembangunan inklusif, Exabytes menaja 20 pelajar daripada kumpulan B40 untuk melanjutkan pengajian tinggi di Forward College.

Selain itu, mereka turut menawarkan tiga tahun peluang pekerjaan dalam Kumpulan Syarikat Exabytes selepas tamat pengajian.

Sementara itu, Pengurus Besar Negara AWS Malaysia, Pete Murray memuji inisiatif tersebut sebagai satu langkah besar dalam membina ekosistem digital ASEAN.

“Kerjasama ini memperkukuh misi kami untuk memperkasakan perniagaan supaya dapat berinovasi secara pantas, selamat dan berskala menggunakan AWS. 

“Exabytes menunjukkan contoh terbaik bagaimana syarikat tempatan boleh membina secara tempatan untuk berkembang secara global,” ujarnya.

Pusat CCoE ini bukan sahaja menjadi pusat latihan dan pembangunan, malah dibayangkan sebagai ruang kolaboratif antara syarikat pemula, pendidik, pakar teknologi dan perniagaan. 

Ia bakal menganjurkan siri acara industri di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Indonesia bagi mempamerkan penyelesaian awan dan memperkukuh komuniti teknologi ASEAN.

Inisiatif masa hadapan itu turut merangkumi penyediaan penyelesaian AI Agentik melalui CCoE bagi meningkatkan produktiviti dalam sektor utama.

Antara syarikat yang telah mendapat manfaat langsung daripada perkhidmatan Exabytes ialah Senheng dan Bizapp Ventures Sdn Bhd.

Jimmy Boey, Ketua Sistem Maklumat Senheng berkata, sokongan daripada Exabytes dan AWS sangat membantu mereka mengoptimumkan kos dan mempercepatkan transformasi digital.

Hasnol Hashim, Ketua Pegawai Teknologi Bizapp turut bersetuju:

“CCoE ini adalah satu penambahan penting yang membolehkan kami menggunakan teknologi awan secara lebih efisien dan mampu milik.”

Kerjasama rasmi dengan Forward College memperkukuh agenda pendidikan inklusif, dengan peluang pembelajaran berasaskan kemahiran yang direka khas untuk membina kemahiran sebenar.

Howie Chang, Pengasas Bersama & CEO Forward College berkata: “Melalui CCoE, kami menyediakan akses bermakna kepada pendidikan awan serta pengalaman praktikal yang bersesuaian dengan keperluan ekonomi digital.”

CCoE AWS x Exabytes merupakan antara inisiatif utama Exabytes untuk tahun 2025 dan seterusnya dalam menjadikan syarikat itu sebagai peneraju penyelesaian AI, teknologi awan, dan e-dagang di rantau ini.

Dengan pendekatan menyeluruh, inisiatif ini menyasarkan untuk menangani kekurangan kemahiran digital dan menyediakan laluan kepada masa depan yang lebih inklusif dan lestari.

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan