PENYEDIA perkhidmatan awan antarabangsa, Amazon Web Services (AWS) mengumumkan untuk melabur kira-kira RM25.5 bilion dalam tempoh 15 tahun untuk wilayah infrastruktur baharunya di Malaysia, sekali gus mengesahkan kepentingan negara yang semakin membangun sebagai hab digital pilihan di ASEAN.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pembangunan itu adalah sokongan yang jelas terhadap keupayaan dan kapasiti Malaysia yang membolehkan negara memangkinkan pertumbuhan ekonominya.
“Saya ingin mengambil kesempatan memuji usaha pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat dalam membawa AWS ke negara kita.
“Ini termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi penggalakan pelaburan digital peneraju di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD),” katanya dalam teks ucapan pada sesi ucapan menteri sempena AWS Cloud Day Malaysia.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, KKD melalui MDEC telah memulakan dan memperjuangkan Dasar Awan Pertama, yang ternyata menjadi salah satu faktor keputusan utama untuk pelaburan pusat data penskalaan hiper di Malaysia.
“Komitmen kami terhadap penggunaan teknologi awan untuk semua aplikasi, platform dan infrastruktur baharu, dalam memajukan perkhidmatan kerajaan dan rakyat kepada alatan dan aplikasi, akan kekal teguh.
“KKD, MDEC dan kerajaan Malaysia, akan terus menawarkan sokongan dan kemudahan kepada AWS, khususnya dalam bidang dasar yang berkaitan dengan perlindungan data, privasi dan keselamatan, peraturan perkhidmatan awan, dan sambungan berkelajuan tinggi,” katanya. – BERNAMA