KERAJAAN terus komited memperkukuh keupayaan komunikasi negara apabila hari ini melancarkan inisiatif Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang berperanan sebagai sistem sokongan strategik semasa krisis dan bencana.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sistem tersebut dibangunkan khusus bagi memastikan kelangsungan komunikasi ketika berlakunya gangguan liputan, terutama di kawasan bencana yang terpencil dan sukar diakses.
Menurut beliau, inisiatif itu membuktikan iltizam kerajaan dalam memastikan komunikasi kritikal dapat diteruskan pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan.
“PRIME bukan sekadar kenderaan. Ia adalah sistem komunikasi bersepadu yang menggabungkan teknologi satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron untuk menyokong operasi penyelamatan serta pengurusan bantuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PRIME di Cyberjaya hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa; Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Fahmi berkata, sistem PRIME mempunyai keupayaan untuk menyediakan liputan internet sehingga 150 meter dari lokasi kenderaan dengan teknologi Wi-Fi mesh dan dron yang memperluas jangkauan.
Sistem itu juga dilengkapi radio mudah alih dan kuasa bateri berkapasiti tinggi bagi membolehkan komunikasi diteruskan tanpa gangguan meskipun berlaku kerosakan rangkaian sedia ada.
“Kita perlu bersedia menghadapi sebarang bentuk bencana, sama ada semula jadi atau buatan. Ketika itulah komunikasi memainkan peranan paling penting dalam menyelamatkan nyawa dan menyelaras bantuan,” ujarnya.
Tambah beliau, tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini.
Katanya, unit pertama yang dilancarkan hari ini akan beroperasi di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi dijadualkan siap pada suku keempat 2025 dan akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa PRIME bukan sahaja berguna semasa bencana, malah boleh dimanfaatkan dalam program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak bagi masyarakat setempat.
“PRIME akan memperluaskan capaian internet ke kawasan sasaran, menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan mengukuhkan penyampaian maklumat secara lebih inklusif,” katanya.
Jelas beliau lagi, inisiatif PRIME mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina ekosistem komunikasi yang menyeluruh dan responsif, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta transformasi digital negara. – Edisi 9

