Thursday, June 4, 2026

Hampir 90 peratus Pelan Induk Industri Halal berjaya dilaksana

Sepanjang tempoh dua tahun ini, industri halal telah menyumbang sebanyak RM149 bilion kepada KDNK serta merekodkan nilai eksport sebanyak RM61.8 bilion - Ahmad Zahid Hamidi 

Mesti Baca

MALAYSIA terus membuktikan kedudukannya sebagai hab halal utama dunia apabila Fasa Pertama Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030) mencatat kadar pelaksanaan sebanyak 89.7 peratus sejak tahun 2023.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu sekali gus membuktikan hala tuju industri halal negara diyakini oleh pasaran antarabangsa serta menjadi pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara.

“Sepanjang tempoh dua tahun ini, industri halal telah menyumbang sebanyak RM149 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta merekodkan nilai eksport sebanyak RM61.8 bilion. 

“Ini bukan sahaja satu pencapaian yang membanggakan, malah menjadi bukti bahawa Malaysia terus diyakini sebagai peneraju industri halal global,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan, Malaysia kini memiliki 14 Halal Parks di seluruh negara yang telah berjaya menarik pelaburan terkumpul sebanyak RM3.8 bilion setakat suku pertama tahun ini.

“Kita kini memperkenalkan kerangka baharu HALMAS yang lebih dinamik dan berdaya saing, dengan sasaran pelaburan mencecah RM25 bilion menjelang 2030. 

“Pelbagai insentif pelaburan turut diperkenalkan termasuk penggubalan Bill of Guarantees dan pelancaran HALMAS Mark of Excellence,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan-kerajaan negeri agar tampil dengan pelan intervensi yang lebih tuntas bagi memastikan pembangunan Halal Parks benar-benar memberi impak strategik kepada pengeluaran dan pelaburan industri halal.

Dalam mesyuarat yang sama, Zahid turut melancarkan inisiatif Wanita dalam Industri Halal (WHI) sebagai satu pengiktirafan kepada peranan wanita dalam memperkukuh rantaian nilai industri halal negara.

“Kita tidak boleh bercakap soal pembangunan industri halal tanpa mengiktiraf sumbangan wanita yang menjadi nadi penting kepada sektor ini. WHI adalah satu langkah memperkukuh penyertaan inklusif dan kepimpinan wanita dalam industri halal,” katanya lagi.

Zahid turut menegaskan bahawa dengan kerjasama erat semua pihak, hala tuju yang jelas serta sokongan dasar yang konsisten, Malaysia akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai hab halal bertaraf dunia, bukan sahaja dalam pensijilan dan pengeluaran, malah dalam nilai, integriti dan kepimpinan global. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan