Saturday, June 13, 2026

Dua beradik menang emas ITEX lancar ‘startup’ AI dengan Google

Ciptaan mereka, Minedu AI, menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dalam permainan popular Minecraft untuk dijadikan alat bantu belajar subjek sekolah seperti Sains, Biologi dan Geografi.

Mesti Baca

DUA beradik dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) bukan calang-calang orang.

Baru darjah 3 dan 6, tapi dah cipta alat pembelajaran AI dalam Minecraft dan memenangi anugerah antarabangsa serta melancarkan syarikat sendiri, siap disokong oleh Google lagi!

Mohammad Parsa Parhizkar, 12, dan adiknya, Mohammad Rohan Parhizkar, 9, mengejutkan ramai apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pencipta Muda Terbaik (Tahap Rendah) di Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2025 (ITEX), baru-baru ini.

Ciptaan mereka, Minedu AI, menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dalam permainan popular Minecraft untuk dijadikan alat bantu belajar subjek sekolah seperti Sains, Biologi dan Geografi.

“Kami suka main Minecraft, jadi kami fikir, kenapa tak jadikan ia tempat belajar juga?” kata Rohan yang baru darjah 3.

Abangnya Parsa pula berkata, “dengan AI, setiap pelajar boleh belajar ikut rentak sendiri, sambil main game yang mereka minat.”

Mohammad Parsa Parhizkar dan Mohammad Rohan Parhizkar ketika menerima anugerah pada ITEX 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini. Hasil ciptaa mereka kini mendapat pengiktirafan Google.

Ciptaan mereka bukan main-main. Sudah menang pingat emas, dan kini digunakan dalam projek perintis di beberapa sekolah terpilih.

Minedu AI juga dah mula menjana pendapatan melalui pelesenan plugin serta bengkel AI yang mereka jalankan.

Yang lebih ‘gempak’, projek mereka turut disokong Google Malaysia, dan mereka kini menubuhkan syarikat pemula sendiri, menjadikan mereka antara pengasas syarikat termuda di Malaysia!

Plugin Minedu AI menggunakan Google Gemini AI untuk memberikan pembelajaran masa nyata, termasuk kuiz dan maklum balas automatik berdasarkan apa yang pemain buat dalam game.

Lebih 144 peserta dari 55 sekolah bertanding dalam kategori Pencipta Muda Dunia, tapi adik-beradik ini membuktikan umur bukan penghalang untuk cemerlang dalam dunia teknologi.

Kemenangan ini sekali gus meletakkan nama Malaysia di peta dunia dalam bidang inovasi pendidikan digital dan bukti anak muda negara ada potensi luar biasa. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan