LAMAN pencarian terkemuka, Google diarah membayar AS$515,000 (RM2.3 juta) kepada seorang bekas ahli politik Australia berhubung kes fitnah melibatkan dua kandungan video di laman web YouTube.
Bekas Timbalan Premier New South Wales, John Barilaro mengenakan tindakan saman terhadap Google kerana gagal menurunkan dua video yang diterbitkan sekitar September dan Oktober 2020.
Hakim Mahkamah Persekutuan Australia, Stephen Rares dalam penghakimannya memaklumkan, video berkenaan diklasifikasikan sebagai buli siber yang mengakibatkan Barilaro mengalami trauma.
Sebelum ini Barilaro mendakwa video yang diterbitkan pelakon komedi Jordan Shanks adalah satu penghinaan buatnya selain berbaur perkauman.
Pada 2020 Barilaro menyaman Google, pemilik YouTube dan Shanks.
Namun pada November tahun lalu, saman terhadap pelakon komedi itu ditarik balik selepas Shanks memohon maaf selain menyunting kandungan video yang dimuatnaik itu.-Agensi