
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Para jemaah diingatkan supaya jangan berbual-bual dan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.
Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Baca Dahulu, Teliti dan Fahami.”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Pernahkah kita terbaca satu berita atau terlihat satu video, lalu kita buat kesimpulan sendiri padahal belum habis baca dan belum tahu hujung pangkalnya? Inilah antara penyakit masyarakat kita hari ini.
Suka cepat menilai, cepat menghukum dan pantas menyebarkan sesuatu maklumat sebelum dipastikan kesahihannya.
Islam mengajar kita prinsip tathabbut iaitu memastikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan atau menyampaikan sesuatu maklumat kepada khalayak ramai.
Oleh itu, khutbah pada hari ini ingin mengingatkan agar kita jangan baca tajuk sahaja, dengar separuh, lalu terus menjatuhkan hukum, menuduh dan memfitnah orang lain.
Kadang-kadang, kita rasa kita berada di pihak yang benar atas faktor emosi atau mungkin kerana ramai orang berpihak kepada kita.
Tapi hakikatnya kebenaran tidak diukur dengan banyaknya sokongan, ia diukur dengan ilmu, fakta dan maklumat yang dipastikan sahih.
Maka marilah tuan-tuan, kita belajar membaca dengan hati, mendengar dengan adab, dan menilai dengan ilmu.
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Dalam Islam, ada satu prinsip besar yang sering dilupakan iaitu diam lebih baik daripada banyak berbicara.
Dalam sebuah hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu, Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Mengambil intipati dalam hadis ini. Dalam diam itu ada hikmahnya, dalam mendengar itu ada ilmunya.
Tapi malangnya, pada zaman kita hari ini, ramai yang lebih cepat bercakap daripada berfikir, lebih pantas menghukum daripada menyemak.
Allah SWT telah mengingatkan kita dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan serta hati semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.”
Ayat ini jelas mengajar kita supaya jangan cepat membuat kesimpulan, apatah lagi menyebarkan sesuatu yang belum pasti.
Setiap telinga yang mendengar, setiap mata yang melihat, dan setiap hati yang menilai akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Maka, fikirlah dahulu sebelum bercakap, semak dan pastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebar atau mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Kadang-kadang, diam itu bukan tanda kelemahan atau tidak proaktif, tetapi ia adalah tanda kebijaksanaan.
Itulah simbol kematangan dalam Islam yang menjadikan diam itu ada kalanya dapat menahan tersebarnya fitnah, dapat mengelak tercalarnya maruah dan dapat menyelamatkan daripada melakukan dosa tanpa disedari.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Setiap kesimpulan yang dibuat mestilah berasaskan kepada penelitian dan kajian yang mendalam. Bukan sekadar ikut firasat dan prasangka sahaja.
Dalam ilmu, ada satu kaedah penting yang disebut sebagai istiqra’ al-tam iaitu membuat penilaian dengan meneliti semua bukti dan maklumat yang lengkap, bukan sekadar ambil satu dua contoh lalu terus disimpulkan.
Tapi sayangnya, hari ini ramai yang cepat menghukum hanya kerana baca tajuk, belum sempat faham isinya.
Bayangkan sekiranya seorang doktor membuat keputusan tanpa melakukan pemeriksaan penuh terhadap pesakitnya, hanya melihat simptom semata-mata, lalu terus memberikan ubat, tanpa menyemak laporan makmal atau sejarah kesihatan.
Sudah tentu ia mengundang risiko dan bahaya yang besar.
Begitu jugalah apabila kita mengeluarkan kenyataan mengikut kecenderungan peribadi tanpa maklumat yang lengkap, hanya berdasarkan tajuk, tanggapan awal, atau buah mulut orang, maka keputusan kita juga boleh menjadi silap dan menzalimi pihak lain.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nur, ayat 15:

“Ingatlah ketika kamu menerima (berita bohong) itu dari mulut ke mulut, dan kamu katakan dengan mulutmu sesuatu yang tidak kamu ketahui sedikit pun dan kamu menganggapnya ringan, padahal pada sisi Allah itu sesuatu yang besar”.
Ayat ini turun berhubung peristiwa hadith al-ifk iaitu fitnah besar yang menimpa Saidatina ‘Aisyah Radiallahuanha dan menjadi peringatan keras kepada umat Islam agar tidak tergesa-gesa mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita tanpa ilmu dan bukti yang sahih.
Cuba kita bayangkan tuan-tuan, bagaimana perasaan seseorang apabila dia difitnah dengan sesuatu yang tidak pernah dilakukannya.
Bayangkan wajahnya, bayangkan ahli keluarganya yang turut menanggung malu akibat tuduhan yang tidak berasas.
Rakan-rakan semakin menjauh, masyarakat mula memandang serong, reputasi dan nama baik yang dibina bertahun-tahun boleh musnah dalam sekelip mata.
Andai kata fitnah itu hanyalah satu rekaan semata-mata, sanggupkah kita menanggung dosa kerana menjadi punca kepada aib dan penderitaan orang lain?
Perbuatan fitnah ini sama seperti mengadu domba menyebarkan sesuatu maklumat atau perkara hanya untuk memburuk-burukkan keadaan.
Perbuatan sebegini amatlah dilarang dalam Islam kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat dan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Ingatlah hadis Nabi SAW seperti mana yang diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan masuk syurga orang yang mengadu domba.” (Riwayat Muslim).
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Dalam dunia penuh maklumat hari ini, cabarannya bukan sekadar untuk membaca, tetapi untuk memahami.
Islam mengajar kita konsep iqra’ iaitu bukan sekadar baca atau lihat, tetapi baca, ulang dan faham berkali-kali.
Jangan mudah membuat kesimpulan hanya dengan satu tajuk atau satu potong ayat. Kita mesti amalkan budaya bertanya, semak, dan hadamkan betul-betul.
Sesungguhnya orang yang bijak tidak cepat menghukum, namun dia sentiasa teliti dalam mencari makna di sebalik sesuatu berita atau perkhabaran.
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad Radiallahuanhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Siapa yang dapat menjaga apa yang ada di antara dua rahangnya (lidahnya) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kehormatannya), maka aku jamin baginya syurga.” (Riwayat al-Bukhari).
Jika kita renungkan betapa besar kesan sesuatu kata atau tulisan. Kadang-kadang hanya satu ayat, satu status, atau satu komen sudah cukup untuk menimbulkan salah faham dan perbalahan di khalayak awam.
Sebab itu orang tua-tua dulu berpesan: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”
Setiap perkataan yang kita keluarkan, sama ada di dunia nyata atau di ruang maya, sebenarnya membawa tanggungjawab besar.
Sekali ia tersebar, tidak mudah untuk ditarik kembali. Maka berhati-hatilah sebelum berbicara atau menulis, agar apa yang kita sampaikan hanya membawa manfaat, bukan mudarat.
Begitulah Islam mendidik kita supaya berfikir dahulu sebelum berkata, membaca dengan teliti sebelum menilai, dan bertanya kepada yang ahlinya sebelum membuat keputusan atau mengeluarkan kenyataan.
Itulah tanda munsif iaitu berlaku adil dan tidak berat sebelah dalam menimbang sesuatu perkara.
Kita tidak cepat melatah sebaliknya mencari kebenaran walau kadang-kadang kebenaran itu mungkin tidak memihak kepada kita.
Inilah sifat orang mukmin yang sentiasa menilai dengan ilmu, bukan dengan prasangka, menimbang dengan hikmah, bukan dengan hawa nafsu.
Para Tetamu Allah SWT yang dimuliakan,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian kita:
1. Kita hendaklah membaca dan menilai sesuatu perkara dengan penuh teliti dan beradab. Bukan sekadar membaca tajuk atau mendengar separuh, lalu terus membuat kesimpulan.
Islam mengajar kita supaya meneliti sesuatu maklumat, memahami konteks, dan menilai dengan ilmu sebelum berbicara atau menyebarkannya kepada orang lain.
2. Kita hendaklah menjaga lidah dan tutur kata daripada menimbulkan sebarang fitnah serta kebencian.
Sesungguhnya lidah yang tidak dijaga boleh menjadi punca perpecahan dan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Jika tidak pasti hujung pangkal sesuatu berita dan tidak mampu mencari maklumat yang sahih, maka eloklah mendoakan yang terbaik atau berdiam diri.
3. Kita hendaklah bersikap adil (munsif) dan sentiasa mencari ruang untuk bertanya kepada ahlinya dalam setiap urusan sebelum membuat penilaian.
Jangan kita cepat menghukum atau menolak sesuatu hanya kerana ia tidak sehaluan dengan kecenderungan peribadi kita.

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita tentang keamanan atau kecemasan, mereka (terus) menyebarkannya. Padahal, kalau mereka menyerahkan segala hal itu kepada Rasul dan ulil amri (orang yang berkuasa) antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak membuat keputusan mengenainya antara mereka. Dan sekiranya bukan kerana kurniaan dan rahmat Allah kepadamu, tentulah kamu (terbabas) mengikuti syaitan kecuali sebahagian kecil sahaja (iaitu orang yang teguh imannya dan luas ilmunya dalam kalangan kamu).” (Surah al-Nisa’: 83).

Jabatan Agama Islam Selangor, 14 November 2025.

