
TINDAKAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengarahkan syarikat-syarikat telekomunikasi menyerahkan data terpilih bagi tujuan keselamatan kebangsaan telah dijadikan modal oleh pihak luar untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan.
Laporan terbaharu diterbitkan oleh sebuah media asing yang membangkitkan kebimbangan kononnya arahan itu melanggar hak privasi pengguna.
Namun, apa yang tidak dinyatakan ialah fakta bahawa data yang diminta telahpun dianonimkan iaitu tanpa nama, nombor kad pengenalan atau identiti peribadi.
Apa yang dikumpulkan hanyalah maklumat teknikal seperti rekod penggunaan internet, log panggilan dan lokasi peranti, semata-mata untuk tujuan pemantauan keselamatan dan pengurusan spektrum komunikasi.
Lebih menghairankan, laporan yang mempersoalkan tindakan ini muncul secara tiba-tiba, hanya selepas sebuah syarikat gergasi dari China dikatakan gagal memenangi tender besar yang dikendalikan secara telus oleh MCMC.
Persoalannya, adakah media luar kini dijadikan alat untuk menekan Malaysia kerana keputusan perolehan yang tidak memihak kepada pihak tertentu?
Malaysia tidak bersendirian dalam melaksanakan kawal selia data demi keselamatan negara.
Negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan China sendiri mempunyai dasar pemantauan data yang jauh lebih ketat, termasuk pemintasan maklumat, pengumpulan metadata dan sistem pengawasan besar-besaran.
Ironinya, bila Malaysia bertindak dalam ruang lingkup undang-undang dan kehendak keselamatan nasional, ia tiba-tiba dituduh sebagai menindas hak pengguna.
Adakah piawaian hak asasi yang dikenakan ke atas Malaysia berbeza semata-mata kerana kita negara membangun?
Atau lebih tepat, adakah ini strategi tekanan halus terhadap negara yang tidak tunduk kepada kepentingan luar?
Tuduhan terhadap kerajaan Malaysia kononnya melanggar hak privasi dibuat tanpa memahami konteks sebenar.
Malaysia tidak pernah mengamalkan pengintipan sewenang-wenangnya, sebaliknya setiap tindakan dilakukan berdasarkan lunas perundangan seperti Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Data yang dikumpul pula bukan berbentuk kandungan peribadi atau mesej pengguna, tetapi maklumat teknikal untuk analisis sistem dan pemantauan trend komunikasi yang penting bagi keselamatan negara.
MCMC juga dilaporkan sedang memperkemas dasar pengendalian data bagi mengelakkan sebarang kebocoran, selaras dengan kebimbangan awam terhadap isu keselamatan siber.
Kerajaan tidak boleh tunduk kepada sebarang tekanan luar, lebih-lebih lagi yang disalurkan melalui medium media antarabangsa yang mungkin mempunyai motif korporat dan geopolitik terselindung.
Adalah penting untuk rakyat Malaysia memahami konteks sebenar isu ini agar tidak terperangkap dalam perang persepsi yang direka untuk menggugat kepercayaan kepada institusi dalam negara sendiri.
Negara berdaulat berhak mempertahankan keselamatannya. Malaysia telah bertindak dengan adil, sah dan profesional.
Yang tidak adil, adalah apabila piawaian antarabangsa hanya digunakan untuk menekan kita, tetapi tidak kepada negara lain. – Edisi 9

