Tuesday, July 21, 2026

Khutbah Aidiladha: Berkorban atau terkorban

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. 

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Para jemaah diingatkan supaya jangan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.

Pada pagi hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah Aidiladha yang bertajuk “BERKORBAN ATAU TERKORBAN”

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah SWT,

Hari ini kita berhimpun bersama dalam suasana penuh kesyukuran dan keinsafan, meraikan Hari Raya Aidiladha, hari kebesaran yang mengangkat makna pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan yang agung. 

Ia bukan sekadar satu perayaan tahunan, tetapi satu medan untuk kita memperingati dan menghayati kisah pengorbanan luar biasa Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anakandanya, Nabi Ismail Alaihissalam.

Dalam al-Quran, Allah SWT merakamkan kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang diperintahkan melalui mimpi untuk menyembelih anakandanya sendiri iaitu Nabi Ismail Alaihissalam. 

Seorang ayah yang telah begitu lama menanti kelahiran zuriat, akhirnya diuji dengan perintah yang amat berat. 

Namun, sidang jemaah sekalian perlu sedar bahawa pengorbanan ini tidak mungkin dapat dilaksanakan melainkan dengan wujudnya kepatuhan dan ketaatan mutlak kepada Allah SWT, bukan hanya dari Baginda seorang, tetapi juga daripada anakandanya Nabi Ismail Alaihissalam.

Bayangkan jika Nabi Ismail Alaihissalam membantah maka tidak wujudlah ketaatan secara menyeluruh dalam keluarga Baginda.

Maka jelaslah di sini, pengorbanan itu bukan hanya terletak di bahu individu, tetapi lahir daripada suasana yang menyokong, yang membenarkan dan memperkukuh ketaatan.

Kita juga dapat perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim Alaihissalam mampu membina keyakinan dalam dirinya melalui wahyu yang datang berulang kali daripada Allah SWT. 

Keimanan Baginda tidak goyah walaupun diuji dengan sesuatu yang paling Baginda sayangi. Baginda juga tidak terus bertindak melulu tanpa sebarang pertimbangan.

Sebaliknya, Baginda memilih untuk memberitahu anaknya sebagaimana yang dirakamkan dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud:

“Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu! Lantas dijawab dengan penuh taat dan redha oleh Nabi Ismail Alaihissalam: “Wahai ayahku, jalankanlah apa-apa yang diperintahkan kepadamu! Insya-Allah, ayah akan mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar”.

Demikianlah kemuncak ketaatan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Nabi Ismail Alaihissalam sehingga menjadi asas pensyariatan ibadah korban.

Dan inilah juga natijah daripada persekitaran yang mendukung ketaatan berlandaskan kefahaman agama yang sahih dan keyakinan teguh terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Muslimin Muslimat yang dimuliakan,

Kita seharusnya sedar dan insaf bahawa di sebalik maqasid ibadah korban itu bukan sekadar menyembelih haiwan semata.

Hakikatnya, ibadah ini menuntut satu bentuk pengorbanan yang jauh lebih besar iaitu keikhlasan dan kesanggupan untuk mengorbankan segala apa yang menghalang kita daripada mentaati Allah SWT.

Tanyakan pada diri kita, apakah sebenarnya yang menghalang kita daripada memberikan ketaatan mutlak kepada Allah SWT? 

Mungkin antara penghalang utamanya ialah apabila kita tunduk kepada hawa nafsu, terlalu ghairah dengan keinginan dunia hingga lalai daripada mengingati akhirat serta mudah terpengaruh dengan persekitaran yang merosakkan dan jahil tentang urusan agama. 

Semua ini perlahan-lahan menjadikan hati kita keras, amal soleh terasa berat untuk dilaksanakan manakala maksiat dirasakan ringan dan seolah-olah biasa dilakukan.

Di zaman ini, mentaati perintah Allah SWT mungkin menjadikan kita kelihatan asing di mata orang.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Islam bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali asing sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (al-ghuraba’).” (HR Muslim).

Justeru, kita mesti berbangga, kita dipandang asing kerana memilih untuk patuh, saat ramai yang sedang leka. 

Kita dipandang asing kerana ingin menjaga agama, saat ramai yang menjualnya. Tetapi yakinlah, keberkatan itu sentiasa bersama orang-orang yang istiqamah, walaupun dipandang asing oleh dunia.

Bersempena Eiduladha ini, marilah kita suburkan semula semangat pengorbanan yang kini dipandang asing.

Korbankan segala bentuk hawa nafsu dan keinginan dunia yang melalaikan kita daripada jalan Allah SWT.

Korbankan rasa keakuan, keselesaan, dan kepentingan diri demi membentuk keluarga yang taat dan masyarakat yang sentiasa menjunjung syariat dalam membina negara yang sejahtera. 

Jangan sampai kita menjadi umat yang lalai, hanyut dengan kemewahan dunia sehingga akhirnya keimanan dan ketaatan kita sendiri yang terkorban.

Muslimin Muslimat yang berbahagia,

Pada hari ini, kita dapat lihat kesatuan umat Islam yang luar biasa. 

Di Tanah Suci, jutaan umat dari pelbagai bangsa dan latar belakang berhimpun di Arafah dan Mina dengan memakai pakaian yang sama, mengerjakan ibadah yang sama, menghadap kiblat yang sama dengan satu tujuan yang sama iaitu semata-mata ingin mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Maha Suci Allah SWT yang mampu menyatukan hati para hamba-Nya yang datang dari pelbagai pelosok dunia tanpa hubungan darah, tetapi disatukan atas ikatan aqidah dan iman. 

Inilah keunikan Islam yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana agama dan ideologi di dunia ini.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’, ayat 92:

“Sesungguhnya (agama tauhid) ini ialah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku ialah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku”.

Allah SWT juga telah menjadikan kita umat terpilih lagi terbaik yang menjadi saksi ke atas umat manusia seluruhnya.

“Dan demikian pula (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan supaya Rasul (Muhammad) akan menjadi saksi atas (perbuatan) kamu semua”.

Demikianlah, sebagai umat terpilih lagi terbaik yang menjadi contoh teladan, Allah SWT telah mendidik Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahuanhum melakukan pengorbanan dengan menyerahkan seluruh jiwa, raga, masa, pemikiran, dan harta demi menegakkan agama Allah SWT.

Pengorbanan mereka bukanlah bersifat sementara, bahkan berterusanhingga ke hari ini, kita dapat merasai kemanisan nikmat Iman dan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli diri dan harta daripada orang yang beriman dengan memberikan syurga kepada mereka (disebabkan) mereka berjuang di jalan Allah lalu (antara) mereka ada yang membunuh atau terbunuh. (Balasan syurga itu adalah) sebagai janji yang benar daripada Allah dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) merupakan kemenangan yang besar”.

Ganjaran syurga inilah yang mendorong para sahabat berlumba-lumba melakukan pengorbanan. 

Mereka memahami bahawa setiap sesuatu yang dikorbankan di dunia ini adalah pelaburan besar menuju akhirat yang kekal.

Lihatlah bagaimana Saidina Abu Bakar as-Siddiq Radiallahuanhu menyerahkan seluruh hartanya untuk perjuangan Islam sehinggakan Rasulullah SAW bertanya kepada beliau.

Sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Umar al-Khattab Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Wahai Abu Bakar, apakah yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?” Beliau menjawab: “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.” (HR al-Tirmizi).

Begitu juga dengan Saidina Umar al-Khattab Radiallahuanhu yang membahagikan hartanya kepada dua bahagian, separuh untuk keluarganya dan separuh lagi diserahkan demi perjuangan dakwah Islam. 

Semangat pengorbanan seperti inilah yang perlu sentiasa dipupuk dan disuburkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. 

Kita mungkin tidak diminta untuk menyerahkan seluruh harta, tetapi kita dituntut untuk menyumbang sebaik mungkin dalam bentuk masa, tenaga, pemikiran dan kewangan demi memartabatkan Islam.

Muslimin Muslimat yang dikasihi Allah SWT,

1. Umat Islam hendaklah memahami bahawa pengorbanan yang hakiki ialah ketaatan mutlak kepada perintah Allah SWT tanpa syarat, walaupun ia menuntut sesuatu yang menguji jiwa dan perasaan, sebagaimana yang berlaku pada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam.

Mengakhiri khutbah pada pagi ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian kita iaitu:

2. Umat Islam hendaklah mengorbankan segala unsur yang menjauhkan diri daripada Allah SWT sebelum ia menjadi sebab kecelakaan kita di dunia dan di akhirat.

3. Umat Islam hendaklah bersyukur dengan mengangkat syiar Islam melalui pelaksanaan ibadah haji ataupun korban bagi yang berkemampuan, sebagai tanda ketaatan dan pengabdian diri kepada Allah SWT serta menzahirkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapai- Nya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berbuat baik. (Surah al-Hajj: 37).


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), 7 Jun 2025.

Related posts:

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan