Friday, June 12, 2026

Balu bersyukur terima pencen penakat RM2,553 sebulan

Caruman Allahyarham suaminya kepada PERKESO semasa hayatnya memberi nafas lega buat keluarganya yang kini bergantung sepenuhnya kepada faedah pencen yang diterima.

Mesti Baca

“ALHAMDULILLAH… faedah ini sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan pendidikan dan keperluan harian kami sekeluarga,” kata Anis Sabariah Kamaruddin, 45.

Beliau merupakan balu kepada bekas petugas media, Allahyarham Mohd Khairi Mazlan yang meninggal dunia akibat kanser limfoma, Sabtu lalu.

Menurutnya, kehilangan suami amat dirasai terutama ketika perlu membesarkan empat anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun, termasuk seorang anak istimewa (OKU) yang masih bersekolah.

Namun, dia bersyukur apabila caruman Allahyarham kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semasa hayatnya, memberi nafas lega buat keluarganya yang kini bergantung sepenuhnya kepada faedah pencen yang diterima.

Menerusi semakan rekod, Allahyarham kali terakhir mencarum pada Jun 2021, menjadikan keluarganya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 dan Pencen Penakat sebanyak RM2,553 sebulan, yang akan disalurkan bermula hujung bulan ini.

Anis Sabariah ditemui ketika menerima kunjungan Ziarah Prihatin PERKESO di kediamannya di Klang Gate, Kuala Lumpur hari ini.

Serahan dilaksanakan oleh Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Untuk rekod, Allahyarham Mohd Khairi pernah berkhidmat sebagai pegawai pemasaran pengiklanan di Kumpulan Utusan serta beberapa agensi media tempatan.

Anis Sabariah berkata, sumbangan itu amat bermakna dan memberi harapan untuk terus tabah membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi.

Sementara itu, PERKESO dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sentiasa komited memastikan pencarum yang layak menerima hak mereka, selain memastikan waris terus terbela walaupun selepas ketiadaan orang tersayang.

“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar angka bantuan kewangan, tetapi simbol kasih sayang yang diwariskan pencarum kepada mereka yang tersayang, walaupun selepas ketiadaan mereka,” kata kenyataan itu.

PERKESO turut menyeru majikan agar tidak culas menunaikan tanggungjawab mencarum untuk pekerja secara konsisten, demi melindungi masa depan mereka dan keluarga.

“Walaupun masa depan tidak dapat diduga, perlindungan boleh dirancang. Dalam setiap caruman itu, tersimpan harapan buat insan tersayang,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan