Tuesday, July 21, 2026

Cabaran yang masih membelenggu di sebalik ASEAN 2045

Persepsi umum terhadap ASEAN ketika ini agak negatif, disebabkan kegagalan untuk bertindak secara kolektif menangani konflik Laut China Selatan dan krisis kemanusiaan di Myanmar.

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

MALAYSIA kembali menggalas peranan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau apabila Deklarasi Kuala Lumpur untuk Komuniti ASEAN 2045 diumumkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 baru lalu.

Deklarasi tersebut dilihat sebagai satu langkah signifikan ke hadapan, namun menurut Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa, Keselamatan dan Strategi Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, cabaran yang dihadapi ASEAN jauh lebih kompleks daripada sekadar komitmen di atas kertas.

“Malaysia sebelum ini pernah memainkan peranan serupa pada tahun 2015 menerusi Deklarasi Kuala Lumpur yang menetapkan hala tuju ASEAN bagi sedekad lalu.

“Namun kali ini, peluang yang diberikan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat peranan ASEAN ke tahap yang lebih berani, bukan sekadar melakar komitmen simbolik, tetapi menjadi pemacu kepada reformasi sebenar terhadap struktur yang kini semakin dipersoal keberkesanannya,” katanya kepada Edisi 9.

Menurut Collins, persepsi umum terhadap ASEAN ketika ini agak negatif, disebabkan kegagalan untuk bertindak secara kolektif dalam menangani isu-isu besar seperti konflik Laut China Selatan dan krisis kemanusiaan di Myanmar.

COLLINS CHONG YEW KEAT

Katanya, struktur tadbir urus ASEAN yang berpaksikan prinsip berkecuali, konsensus dan tidak campur tangan seperti termaktub dalam Piagam ASEAN kini dianggap sebagai penghalang kepada tindakan tegas dan berkesan.

“Prinsip yang dahulunya dianggap sebagai strategi bijak, kini menjadi beban yang mengehadkan keupayaan ASEAN untuk bertindak secara tuntas,” jelas beliau.

Deklarasi ASEAN 2045 memberi fokus kepada sektor-sektor pembangunan yang lebih mudah dipersetujui negara anggota, termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau dan biru, peralihan tenaga, keselamatan makanan dan tenaga serta pengukuhan rantaian bekalan.

Hubungan antara rakyat, pelancongan dan pendidikan tinggi turut dijadikan tonggak integrasi serantau.

Namun, Collins berpandangan pendekatan ini hanya menyentuh isu yang mudah dicapai, dan belum cukup untuk menangani cabaran sebenar ASEAN, terutama dalam aspek keselamatan dan geopolitik.

Krisis di Myanmar

Mengulas krisis Myanmar, Collins menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara gagal menghasilkan sebarang kemajuan kerana kuasa sebenar terletak di tangan Beijing, New Delhi, Moscow dan Washington.

“Tanpa campur tangan terancang daripada kuasa-kuasa luar yang berkepentingan, ASEAN tidak akan mampu menjadi pemain utama dalam penyelesaian konflik tersebut,” katanya.

Isu Laut China Selatan pula mencerminkan ketidakupayaan ASEAN untuk menyatukan pendirian.

Perbezaan ketara dasar luar antara Filipina, Vietnam dan Malaysia menjadi penghalang kepada suara serantau yang utuh dalam menghadapi tekanan dari China.

Collins turut menyorot kelemahan ekonomi kolektif ASEAN. Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan mencecah USD4 trilion namun angka itu hanya menyamai jumlah import Amerika Syarikat dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, pendapatan per kapita pula sekitar USD5,000 hingga USD6,000, jauh ketinggalan berbanding China (USD17,000) dan AS (USD80,000).

Jelas beliau, ketidakseimbangan pembangunan antara negara anggota malah dalam sesebuah negara itu sendiri menjadi penghalang utama kepada cita-cita membentuk sebuah komuniti yang benar-benar inklusif.

“Selagi jurang pembangunan ini tidak ditangani secara sistematik, ASEAN akan terus bergelut untuk merealisasikan potensi sebenarnya,” ujar beliau.

Justeru, Collins berpandangan ASEAN perlu berani melakukan reformasi struktur secara menyeluruh.

Ini termasuklah mempertimbangkan penubuhan pakatan ekonomi dan keselamatan baharu yang lebih dinamik dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kerangka lama yang pasif.

Hubungan ASEAN yang semakin rapat dengan China dan negara-negara BRICS turut menimbulkan persoalan dari kaca mata AS, apatah lagi tanpa tindak balas timbal balik terhadap sumbangan keselamatan Washington kepada rantau ini.

“Ketiadaan mesej jelas kepada AS boleh menimbulkan persepsi bahawa ASEAN semakin hilang relevansi terhadap kepentingan strategik mereka,” kata beliau.

Collins menegaskan bahawa ASEAN perlu meninggalkan pendekatan lama yang terlalu berhati-hati, gagal menyatukan suara, dan terlalu bergantung kepada kuasa luar tanpa pelan kontingensi tersendiri.

“Masa depan ASEAN bukan sahaja tidak menentu, malah berisiko diketepikan dalam percaturan kuasa global. Dunia hari ini jauh lebih kompleks berbanding era Perang Dingin ketika ASEAN ditubuhkan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru ASEAN supaya bangkit sebagai entiti yang bukan sekadar menjadi pengantara konflik, tetapi tampil sebagai pemain strategik yang dihormati oleh semua kuasa besar dunia. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan