Thursday, July 23, 2026

Tiada wakil negara di pentas akhir Terbuka Malaysia

Mesti Baca

TIADA wakil negara akan beraksi di pentas akhir badminton Terbuka Malaysia 2025 apabila tiga pasangan beregu yang menjadi sandaran tumpas di tangan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai dicabar hebat oleh pasangan ke-57 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Beregu negara tewas 21-17, 12-21, 16-21 dalam masa 1 jam 3 minit sekali gus menyekat peluang meletakkan wakil pertama negara ke pentas akhir.

Harapan para penyokong negara yang memenuhi Axiata Arena untuk menyaksikan satu lagi wakil beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke perlawanan akhir juga tidak kesampaian.

Beregu negara itu gagal menyaingi kekentalan beregu nombor 1 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping sebelum tewas 19-21, 14-21.

Ini merupakan kekalahan kelima Tang Jie-Ee Wei ke atas pasangan tersebut dalam tujuh pertemuan setakat ini.

Sementara itu, harapan menyaksikan wakil tunggal beregu lelaki, Man Wei Chong-Kai Wun Tee di separuh akhir untuk melangkah ke ‘final’ juga tidak kesampaian.

Walaupun beraksi dengan baik menerusi pukulan-pukulan ‘smash’ padu namun kekentalan pertahanan pasangan China, Chen Bon Yang-Liu Yi sukar digugat.

Mereka akhirnya tewas 26-24, 16-21, 15-21 dalam masa 1 jam 17 minit.

Bagaimanapun, kejayaan menempatkan tiga beregu di pentas separuh akhir merupakan pencapaian terbaik skuad negara berbanding tahun lalu. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan