23 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

PM sampaikan sumbangan Ko-Khawan kepada 8,500 penerima

Mesti Baca

KOPERASI Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia menghulurkan sumbangan kepada 8,500 penerima, semalam.

Sumbangan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh itu adalah program berskala besar pertama yang dianjur oleh yayasan itu sejak ditubuhkan tahun lalu.

Sumbangan barangan persekolahan kepada 2,000 pelajar serta barangan keperluan dapur untuk 6,500 keluarga B40 menjadi fokus utama program tersebut.

Pengerusi Ko-Khawan, Datuk Eng Yee Koon berkata, kehadiran Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam menyantuni golongan yang memerlukan.

“Sebagai penganjur, kami amat terharu dan berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh pemimpin peringkat nasional dan negeri untuk menjayakan program kali ini. 

“Ia membuktikan bahawa kedua-dua Perdana Menteri dan Ketua Menteri mempunyai matlamat yang sama dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Yayasan Muhibah Malaysia merupakan hasil inisiatif Ko-khawan yang mempunyai 300 ahli dengan misi utama untuk membantu golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim, ibu bapa tunggal dan pelajar dari golongan B40.

Advertisements

Beliau berkata, fokus mereka tahun lepas adalah menyediakan bantuan berkaitan pendidikan seperti uniform sekolah, komputer, yuran tuisyen dan program pembelajaran dalam talian kepada 1,000 pelajar di seluruh negara. 

“Bantuan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan akademik walaupun berhadapan cabaran hidup akibat kemiskinan,” katanya.

Mengenai program tersebut, beliau berkata, para pelajar sekolah rendah dan menengah B40 serta anak yatim menerima beg dan uniform sekolah serta alat tulis bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat.

Manakala setiap keluarga B40 pula menerima barangan dapur dan keperluan asas harian dengan nilai setiap sumbangan dianggarkan RM100.

“Kami tidak hanya memberikan bantuan material, tetapi juga kasih sayang dan harapan.

“Masyarakat Malaysia perlu tahu bahawa golongan yang kurang bernasib baik tidak seharusnya dilupakan dan perlu dibantu,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan