KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menyerahkan enam projek yang disiapkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Johor.
Enam projek tersebut iaitu lima merupakan sumber air di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta satu projek bekalan air di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA) yang keseluruhannya melibatkan peruntukan sebanyak RM186.1 juta.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, daripada lima projek sumber air itu termasuk projek menaik taraf Empangan Bekok bernilai RM17.8 juta dan projek menaik taraf infrastruktur mekanal dan elektrikal untuk kawalan banjir negeri bernilai RM2.7 juta.
Beliau berkata, projek lain ialah penambakan pemecaj ombak di Pengkalan Seri Menanti, Muar (RM1.8 juta), pakej satu menaik taraf saliran mesra alam Sungai Suloh, Batu Pahat (RM3.6 juta) dan pembinaan U-Shape konkrit dari Sungai Batu Pahat ke pekan Semerah bernilai RM7.7 juta.
Manakala satu projek JBA membabitkan projek penyaluran air mentah Layang 2 bernilai RM152.6 juta.
“Kerajaan Persekutuan melalui PETRA sentiasa komited dalam pelaksanaan projek-projek diluluskan untuk negeri Johor menerusi penubuhan Jawatankuas Khas Isu Bekalan Air dan Tebatan Banjir negeri.
“Ia bertujuan menyelaras isu-isu yang timbul semasa peringkat pra-pelaksanaan projek seperti pengambilan tanah, kebenaran merancang dan penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek bekalan air dan tebatan banjir dapat disegerakan pelaksanaannya di tapak,” katanya hari ini.
Sebelum itu Akmal Nasrullah menyempurnkan Majlis Penyerahan Projek Siap kepada kerajaan negeri di Felda Ulu Penggeli, Kluang.
Beliau berkata, secara keseluruhan di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak 29 projek dengan kos keseluruhan RM5.64 bilion diluluskan.
Jumlah itu tidak termasuk peruntukan tahun 2025 sebanyak RM224.8 yang turut diluluskan kerajaan Persekutuan melalui PETRA bagi Johor. – Edisi 9

