SERAMAI 14 pelajar Malaysia dari University of California Los Angeles (UCLA) disahkan terkesan dengan bencana kebakaran yang melanda Los Angeles, Amerika Syarikat, kata Jabatan Pendidikan Tinggi hari ini.
JPT berkata, mereka dikatakan tinggal berhampiran lokasi kejadian dan keadaan mereka sedang dipantau rapat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Pejabat Education Malaysia Los Angeles (EMLA).
Beliau berkata, KPT bersama pejabat Konsulat Jeneral di Los Angeles juga bersetuju untuk memberi bantuan dan akan melaksanakan pelan evakuasi sekiranya perlu melalui penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai shelter house.
“Walau bagaimanapun, pada masa ini tiada arahan evakuasi yang dikeluarkan oleh pihak UCLA kepada para pelajar tersebut,” kata JPT dalam kenyataan hari ini.
Setakat hari ini, kata JPT, keadaan para pelajar dalam keadaan baik dan pelajar akan terus berada di kediaman masing-masing sehingga arahan terbaharu diterima.
Pasukan bomba dan penyelamat sedang bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran hutan besar-besaran di sekitar Los Angeles yang kini dilaporkan merebak di beberapa kawasan baharu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 16 orang disahkan terbunuh akibat kebakaran yang melanda bandar itu dan menyebabkan struktur bangunan dan kediaman hangus serta mencetuskan kegelisahan jutaan penduduk California.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memadamkan kebakaran termasuk menggunakan pesawat dan helikopter, kebakaran Palisades dilaporkan masih merebak pada Sabtu dengan menuju ke timur laut dan Lembah San Fernado yang padat dengan penduduk.
Bencana yang menimpa Los Angeles sehingga menyebabkan pengisytiharan Darurat Negeri oleh Datuk Bandar Los Angeles,Karen Bass akibat kejadian Palisades Fire dan Windstorm.
Bahkan Presiden AS, Joe Biden juga mengumumkan Geran Bantuan Pengurusan Kebakaran untuk membantu memulihkan keadaan. – Edisi 9

