Tuesday, July 21, 2026

Bantuan tunai segera kepada mangsa kebakaran paip gas

Bantuan sebanyak RM5,000 untuk kediaman musnah sepenuhnya manakala RM2,500 akan diberikan kepada kediaman yang terjejas sebahagian ekoran kebakaran tersebut.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bantuan tunai segera kepada mangsa kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor hari ini.

Ketika meninjau lokasi tragedi kebakaran itu, Anwar berkata bantuan sebanyak RM5,000 akan diberikan untuk kediaman yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran tersebut.

Manakala RM2,500 akan diberikan kepada kediaman yang terjejas sebahagian ekoran kebakaran tersebut.

“Insya-Allah ia akan disalurkan sesegera mungkin,” kata Perdana Menteri menerusi media sosialnya hari ini.

Perdana Menteri sebelum itu dilapor tiba di lokasi insiden kebakaran itu pada pukul 4.57 petang tadi.

Ketibaan Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar berkata, untuk bantuan jangka panjang termasuk pemulihan kawasan perumahan dan kebajikan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) sedang dibincangkan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Petronas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, setakat 3.40 petang tadi, sebanyak 190 unit kediaman yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian.

Beliau berkata, selain 190 unit rumah itu, sebanyak 148 kereta dan 11 unit motosikal turut rosak dalam kejadian tersebut yang dikenal pasti  melibatkan kebakaran dan haba panas daripada kebakaran berkenaan.

Terdahulu, Petronas Gas Berhad (PGB) mengesahkan saluran paip utama gas bawah tanah Petronas disahkan menjadi punca kebakaran besar yang berlaku berhampiran Putra Heights tersebut.

Menurut PGB, saluran paip utama itu telah pun diasingkan manakala stesen runcitnya berhampiran lokasi kejadian tidak terjejas ekoran kebakaran berkenaan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan