DAKWAAN menyatakan kerajaan akan melaksanakan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 3.0 adalah tidak benar, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Beliau berkata, buat masa ini tiada sebarang cadangan untuk melaksanakan program tersebut selepas pelaksanaan RTK 2.0 pada 27 Januari 2023 hingga 30 Jun 2024 lalu.
“Pihak Jabatan menafikan dakwaan ini dan sehingga kini, tiada sebarang keputusan telah dibuat berhubung pelaksanaan RTK 3.0.
“Pihak Jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan nama program RTK,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas perkongsian yang tular di laman media sosial berkaitan pelaksanaan Program RTK 3.0.
Perkongsian tersebut mendakwa kerajaan akan melaksanakan program RTK 3.0 dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Mereka diminta melayari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan tersebut. – Edisi 9