23.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

Hampir 5,000 kandungan dalam talian diturunkan sejak 1 Januari

Mesti Baca

SEBANYAK 4,699 kandungan dalam talian telah diminta diturunkan oleh pihak yang bertanggungjawab sejak 1 Januari lalu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2025 (IRC 2025) di Kuala Lumpur, beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 72 peratus melibatkan isu perjudian dalam talian manakala 14 peratus merupakan kandungan berunsur penipuan.

Fahmi berkata, langkah menurunkan kandungan itu dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas mendapat permintaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jadi kedua-dua ini sudah 86 peratus daripada semua kandungan yang diminta untuk diturunkan, (jumlah) itu setakat hari ini.

“Jumlah yang kita mohon atau MCMC mohon kebiasaannya berdasarkan permintaan daripada PDRM berkaitan dengan scam (penipuan), berkaitan judi dalam talian. Kebiasaannya MCMC akan mendapat permintaan maka akan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, penyedia platform media sosial telah memberikan reaksi balas yang baik dengan kerajaan berhubung usaha mewajibkan mereka memiliki lesen sekiranya mahu beroperasi di Malaysia.

Malah, katanya, mereka juga memberikan kerjasama menggalakkan kepada usaha ini dalam memastikan hak serta kebajikan pengguna terbela daripada sebarang perkara tidak diingini.

Advertisements

“Hampir kesemua, ada empat organisasi yang telah memohon lesen, tiga telah menerima cuma Meta yang masih dalam proses menghantar beberapa dokumen dan kita jangkakan dalam masa terdekat akan selesai dan mereka akan dapat lesen.

“Jadi saya tidak lihat isu kerjasama, cuma mungkin ada isu takrifan, ada isu nilai ambang. Walau apa pun sebarang kandungan yang melanggar undang-undang contoh bersifat ajaran sesat maka ia boleh diminta untuk diturunkan.

“Di situ kita lihat platform ini kebiasaannya memberi kerjasama tapi kita melalui proses dan kerangka perlesenan bukan sekadar mahukan kerjasama tapi mereka perlu patuh dengan undang-undang,” katanya.

IRC 2025 yang bertemakan ‘Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era’ berlangsung selama dua hari.

Persidangan selama dua hari itu disertai para pemimpin industri, pembuat dasar dan pakar dari negara-negar ASEAN, Australia, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan lain-lain.

Anjuran MCMC, ia menjadi pentas bagi membincangkan landskap digital yang berkembang, berfokus kepada teknologi termaju dan rangka kerja pengawalan penting dalam menangani cabaran dan peluang era moden. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan