SERAMAI 2,600 orang menerima sumbangan barangan keperluan harian dan pendidikan bernilai RM200,000 daripada CapitaLand Group.
Inisiatif dengan sokongan CapitaLand Hope Foundation (CHF) itu merupakan inisiatif kemasyarakatan di bawah kempen #GivingAsOne tahunan.
Ketua Peruncitan, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, para penerima terdiri daripada rumah anak yatim, sekolah dan keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang, Lembah Klang, Pahang dan Johor.
“Mulai 23 Oktober sehingga 20 Disember 2024, sukarelawan terdiri daripada kakitangan CapitaLand bersama-sama menjayakan usaha yang bermakna ini dengan memberi sokongan kepada hampir 800 kanak-kanak kurang berkemampuan daripada 21 rumah amal dan lebih 1,800 penerima daripada 600 keluarga berpendapatan rendah.
“Penerima ini dikenal pasti hasil kerjasama dengan Unit Mutiara Food Bank di Pulau Pinang serta pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selina berkata, buat kali pertama, CapitaLand memperkenalkan pengalaman bazar pusat beli-belah untuk membawa keseronokan dan kegembiraan kepada penerima.
Katanya, menerusi inisiatif jelajah yang unik itu, penerima boleh memilih barangan keperluan daripada pelbagai gerai yang didirikan oleh sukarelawan kakitangan berkenaan di dewan komuniti di seluruh Malaysia.
Beliau berkata, sejak 2011, CapitaLand, dengan sokongan CHF, sudah membantu lebih daripada 16,100 penerima dan memberi sumbangan lebih daripada RM2.6 juta di Malaysia. – Edisi 9