PRUDENTIAL BSN Takaful Berhad (PruBSN) memperkenalkan Medik Asas iaitu rider perubatan untuk perlindungan kesihatan mampu milik dan mampan untuk seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, Medik Asas merupakan rider baharu untuk menangani kebimbangan mengenai kos perubatan yang semakin meningkat.
Selain itu, beliau berkata, ia juga bagi memastikan lebih banyak keluarga mempunyai akses kepada pelan takaful
yang mampu milik.
“Inisiatif ini amat penting kerana sebahagian rakyat Malaysia, kira-kira 12.9 peratus dilaporkan tidak mendapatkan rawatan perubatan akibat kekangan kewangan.
“Dengan menyediakan pilihan yang lebih mampu milik dan fleksibel, kami berhasrat untuk mengurangkan bebanan kewangan ini dan meningkatkan taraf kesihatan yang lebih baik untuk semua keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Medik Asas bukan sekadar produk takaful biasa sebaliknya ia adalah penyelesaian disesuaikan untuk memenuhi keperluan segera bagi mereka yang tidak mempunyai jaminan kewangan dalam menghadapi kecemasan perubatan dengan polisi mampu milik serenda RM52 sebulan.
Katanya, apa yang menjadikan Medik Asas lebih menonjol berbanding produk perubatan tradisional lain di pasaran adalah integrasi pendekatan harga berasaskan tuntutan yang unik.
“Bagi pelanggan kami, ini bermakna sumbangan mereka akan lebih rendah jika mereka tidak membuat tuntutan,”katanya.
Wan Saifulrizal berkata, Medik Asas menyediakan perlindungan perubatan asas merangkumi penjagaan rawatan pesakit dalam hingga pesakit luar, penyakit-penyakit utama, dan juga lanjutan manfaat penjagaan sehingga RM100,000 setahun dan perlindungan tanpa had seumur hidup.
Medik Asas juga memudahkan akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan awam melalui kemudahan tanpa tunai di hospital kerajaan Malaysia dan panel hospital swasta terpilih.
Antara ciri lain yang menarik adalah Medik Asas memenuhi keperluan khusus rakyat Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kerajaan dengan menawarkan manfaat tambahan bagi mereka yang dirawat di hospital kerajaan.
“Kini, mereka boleh menikmati manfaat istimewa seperti elaun harian dan penjagaan tambahan untuk warga emas, memastikan bahawa golongan yang paling terdedah juga dijaga dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, PruBSN berusaha membina masa depan di mana tiada siapa yang perlu memilih antara penjagaan kesihatan dan perlindungan kewangan.
Katanya, dengan Medik Asas, pihaknya berharap dapat meringankan beban komuniti yang kurang bernasib baik, memastikan semua orang mempunyai akses kepada perlindungan kesihatan yang mampu milik dan berkesan. – Edisi 9