SEBANYAK 216 kes insiden di laut telah dilaporkan oleh Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak Januari lalu hingga semalam, kata Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia itu, daripada jumlah itu seramai 62 mangsa meninggal dunia sementara 26 lagi dikategorikan masih hilang.
Malahan dari tahun 2006 hingga semalam, sebanyak 3,275 kes dengan 16,420 mangsa terlibat insiden di laut telah direkodkan.
Katanya, daripada mangsa tersebut, 1,643 mangsa telah dilaporkan meninggal dunia dan 777 mangsa masih diklasifikasikan sebagai hilang.
Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai meningkatkan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut terutama sepanjang musim cuti sekolah ini dan perayaan Krismas.
“Peringatan ini penting memandangkan cuaca yang tidak menentu pada penghujung tahun akibat Monsun Timur Laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antaranya ialah sentiasa memakai jaket keselamatan selain memastikan bot yang dinaiki berada dalam keadaan selamat.
Mohd Rosli turut mengingatkan semua pengendali bot penumpang untuk memastikan bot yang digunakan dalam keadaan baik serta menyediakan jaket keselamatan sebelum beroperasi, selain tidak membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan.
Terdahulu beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim yang terdekat untuk tindakan segera. – Edisi 9