KIRA-KIRA 71 peratus atau tiga daripada empat wanita berusia 40 tahun dan ke atas di negara ini tidak pernah melakukan saringan ujian mamogram, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Memetik dapatan Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi 2023, beliau berkata, 46 peratus wanita berumur 18 tahun ke atas pula tidak melakukan pemeriksaan sendiri payudara bagi tempoh 12 bulan terakhir.
Sementara, bagi ujian pap smear pula, Nancy berkata, sebanyak 65 peratus wanita berumur 20 tahun dan ke atas tidak melakukan ujian tersebut dalam tempoh tiga tahun terakhir.
“Statistik Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia bagi tahun 2017-2021 turut merekodkan 50.5 peratus wanita yang menghidapi kanser payudara dikesan pada tahap 3 dan 4, meningkat berbanding pada tahun 2012-2016 sebanyak 48 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kesedaran Kanser Payudara di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah dan Pengarah Urusan, Body Perfect Sdn Bhd, Mandy Tan.
Melihat data yang membimbangkan itu, Nancy menyeru para wanita untuk lebih peka dan sedar akan kepentingan penjagaan kesihatan terutamanya berkaitan payudara.
Beliau berkata, ini boleh dilakukan dengan melakukan pemeriksaan secara berkala bagi pengesanan awal kanser melalui saringan ujian mamogram.
“Kerajaan telah menyediakan subsidi ujian mamogram secara percuma kepada kepada wanita yang layak dan pendaftaran bagi mendapatkan inisiatif ini boleh diakses melalui 50 buah Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara.
“Selain itu, KPWKM melalui LPPKN turut melaksanakan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) bagi mempromosikan saringan awal kanser melalui Program Subsidi Ujian Mamogram serta Program Saringan Kanser Serviks (HPV DNA),”katanya. – Edisi 9