Saturday, June 13, 2026

71 murid Orang Asli beruntung dapat pendedahan teknologi AI

Mesti Baca

SERAMAI 71 murid Orang Asli beruntung kerana diberi peluang untuk mengenali dunia teknologi kecerdasan buatan (AI) bersama Universiti Tenaga Nasional (Uniten) baru-baru ini.

Program Eksplorasi AI: ChatGPT, Gamma.AI dan Canva AI untuk Remaja itu telah diadakan di Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) di Rompin, Pahang.

Program melalui Geran Pocket 2023 itu melibatkan murid-murid Orang Asli berusia 13 hingga 15 tahun dan diberikan bimbingan oleh para pensyarah kanan Uniten Kampus Putrajaya, Kajang dan Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadzam Shah, Pahang.

Pensyarah Uniten, Wan Farhah Shafiy Wan Kamalluarifin berkata, objektif program adalah untuk memberi pendedahan awal kepada murid-murid Orang Asli terhadap teknologi AI.

Beliau berkata, ini kerana teknologi terkini itu bukan sahaja membantu mereka dalam proses mempersiapkan diri untuk menghadapi pendidikan tinggi tetapi juga menyediakan mereka untuk cabaran masa hadapan dalam era digital yang semakin kompleks.

Sebahagian murid Orang Ali diberi pendedahan mengenai teknologi AI.

“Penggunaan teknologi AI dalam pendidikan semakin mendapat tempat kerana ia memberi murid peluang untuk meneroka pembelajaran kendiri secara interaktif. 

“Alatan yang diperkenalkan dalam program seperti ChatGPT membolehkan murid berinteraksi dan mendapatkan jawapan serta penjelasan kepada pelbagai soalan dalam masa nyata. 

“Ini membantu mempercepatkan pemahaman mereka terhadap topik yang sukar dengan bimbingan secara langsung,” katanya baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata, Gamma.AI merupakan medium untuk menyampaikan idea tanpa memerlukan kemahiran reka bentuk atau pengekodan untuk menghasilkan persembahan, dokumen dan tapak web yang cantik. 

Manakala Canva AI pula, katanya, membolehkan murid menghasilkan reka bentuk kreatif untuk pembentangan dan projek sekolah. 

Peserta program Eksplorasi AI di Rompin, Pahang baru-baru ini.

Wan Farhah Shafiy berkata, penggunaan alat itu membuka ruang kepada murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif, selain mengasah kemahiran digital mereka yang amat penting dalam era moden.

“AI mampu merubah cara murid mempelajari sesuatu dengan lebih pantas dan mendalam. “

“Dengan sokongan teknologi ini, mereka dapat mempertingkatkan kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, dan meningkatkan kreativiti. 

“Namun pendedahan AI kepada murid sekolah menengah haruslah dibantu oleh para guru dan pakar AI supaya mereka dapat menggunakan AI dengan terapan nilai etika,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan