SERAMAI 246 calon pelatih asas penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melapor diri di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan, Pahang semalam.
Pemangku Pengarah AMSAS, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut seramai 70 orang adalah calon pelatih asas Leftenan Muda Maritim Gred T13 manakala 176 orang merupakan calon pelatih asas Laskar Kelas II Maritim Gred T1 dan kesemuanya merupakan calon lelaki.
Beliau berkata, pengambilan pada siri kali ini melibatkan jumlah paling ramai dalam sejarah Maritim Malaysia dan ia dijalankan serentak bagi lantikan kemasukan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Penguat Kuasa Lain-Lain Pangkat (LLP) Maritim.
“Semua calon yang melaporkan diri akan menjalani latihan selama 10 bulan berbanding siri-siri lantikan sebelum ini yang hanya menjalani latihan selama 9 bulan.
“Dengan bertambahnya tempoh latihan asas, pelatih akan menjadi lebih bersedia dari segi ilmu teori dan praktikal sebelum dihantar ke kapal-kapal bagi menjalani latihan sambil kerja atau on-job training selama 3 bulan,” katanya dalam kenyataan.

Haris Fadzillah berkata, pengambilan serentak pelatih asas pegawai dan LLP tersebut bakal menyumbang kepada peningkatan jumlah perjawatan yang telah diluluskan Kerajaan iaitu sebanyak 5,403 jumlah perjawatan.
Beliau berharap perjawatan tersebut dapat diisi sepenuhnya menjelang tahun 2026.
Sementara itu, salah seorang calon pelatih asas berkenaan, Haikal Iqbal Zainudin, 28, menyifatkan tawaran yang diterima merupakan rezeki daripada Allah SWT.
Ini kerana, pemegang ijazah Bachelor Science Shipping And Port Management dari Solent Southampton University, United Kingdom itu dan isteri baru sahaja dikurniakan cahaya mata kedua baru-baru ini.
Dia yang sebelum ini merupakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), memilih menyertai Maritim Malaysia kerana minat dalam bidang penguatkuasaan serta ingin bertugas di samudera menjaga keselamatan perairan negara. – Edisi 9

