AGROBANK menawarkan pembiayaan berjumlah RM300 juta kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) melalui Program Digital Niaga dengan kerjasama Borong, atau dahulunya dikenali sebagai Dropee.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif tersebut adalah kolaborasi strategik dalam usaha membangunkan ekosistem berasaskan perniagaan digital pertanian dan agrobisnes.
Beliau berkata, kerjasama strategik dimeterai antara Agrobank dan Borong itu bakal memberi manfaat kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian kepada akses pembiayaan yang lebih komprehensif dengan menawarkan pilihan pembiayaan yang berpatutan.
“Melalui rangkaian Borang, Agrobank dapat menyediakan pembiayaan kepada PMKS mengikut keperluan masing-masing untuk pembangun serta pengembangan perniagaan.
“Agrobank selain menawarkan bantuan pembiayan ia juga memberikan latihan keusahawanan kepada para usahawan,”katanya ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Agrobank dan Borong di MAEPS hari ini.
Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzi menandatangani perjanjian bagi pihak Agrobank manakala Borong pula diwakili Pengarah Urusannya, Aizat Rahim.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, akses kepada latihan keusahawanan pula dapat membantu para peniaga memperkukuh strategi perniagaan supaya mereka dapat meningkatkan daya saing di pasaran yang semakin mencabar.
Katanya, perniagaan yang inovatif dan berdaya tahan akan memacu pembangunan ekonomi negara terutamanya dalam memasarkan produk-produk tempatan yang berkualiti tinggi melalui platform digital terutamanya bagi sektor pertanian.
Sementara itu Aizat berkata, Program Digital Niaga membuka peluang kepada PMKS melonjakan perniagaan mereka pemasaran digital.
Beliau berkata, program tersebut menyediakan platform untuk mereka mencari kemudahan digital yang sesuai dan akses kepada sumber kewangan.
“Ini bertujuan meningkatkan pendapatan dan memperkasakan usahawan-usahawan PKMS di Malaysia melalui penyelesaian dan rangkaian perniagaan,”katanya.
Melalui kerjasama ini, kata beliau, Agrobank dan Borong komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang baharu kepada 15,000 PKMS di Malaysia.
Katanya, dengan menggabungkan bantuan pembiayaan dan akses kepada pasaran yang luas melalui platform Borong, kolaborasi ini dijangkan akan memperkasakan PKMS dan menyumbang kepada keseluruhan
pembangunan negara.
“Usaha ini berpotensi menjana impak ekonomi bernilai RM8.6 bilion dalam tempoh tiga tahun,”katanya. – Edisi 9