Wednesday, July 22, 2026

Dana RM1.5 bilion diperuntuk bagi percepat pendigitalan PMKS

Dana tersebut diwujudkan melalui kerjasama strategik awam-swasta melibatkan agensi kerajaan dan rakan sokongan.

Mesti Baca

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bersama rakan pelaksana mengumumkan peruntukan dana kumulatif berjumlah kira-kira RM1.5 bilion bagi menyokong inisiatif pendigitalan perniagaan (BDI) di seluruh negara.

Dana tersebut diwujudkan melalui kerjasama strategik awam-swasta melibatkan agensi kerajaan dan rakan sokongan termasuk institusi kewangan, bank digital, platform pembiayaan Peer-to-Peer (P2P) serta penyedia perkhidmatan tempatan.

Penyediaan dana tersebut bertujuan menyediakan penyelesaian digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di samping menawarkan kemudahan pembiayaan digital yang menyokong keperluan operasi harian komuniti tersebut.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, program itu merupakan satu inisiatif transformasi digital berteraskan rakyat oleh Kerajaan Madani yang bertujuan memperkasa PMKS melalui penyelesaian teknologi inovatif, demi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh negara untuk memastikan PMKS memiliki akses kepada penyelesaian digital, peluang pembiayaan dan bimbingan pakar bagi memperkukuhkan daya saing mereka dalam lanskap ekonomi digital yang pantas berubah.

“Melalui BDI, Kerajaan Madani mempercepatkan penerimagunaan teknologi digital dalam kalangan PMKS, sambil memacu pertumbuhan inklusif yang membolehkan semua perniagaan, tidak mengira saiz, berkembang maju untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Pelancaran BDI di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan pemeteraian pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC dan SME Corp Malaysia, institusi kewangan, bank digital, platform P2P serta penyedia perkhidmatan tempatan.

Ini bagi memastikan PMKS menerima sokongan menyeluruh dalam aspek pembiayaan, akses kepada alatan digital dan pembangunan kapasiti untuk beralih ke arah ekonomi digital dengan lebih berjaya.

Sementara itu Anuar Fariz berkata, inisiatif tersebut disasarkan bagi menaik taraf PMKS melalui peningkatan daya tahan, daya saing serta mempersiapkan pertumbuhan mampan mereka dengan penerimaguaan teknologi digital yang bermanfaat.

“Inisiatif ini menyasarkan cabaran sebenar yang dihadapi oleh PMKS, sama ada kekurangan kemahiran, alat, pembiayaan atau kekeliruan tentang cara memulakan proses digital, menyediakan penyelesaian bersasar, praktikal serta relevan mengikut keperluan operasi dan matlamat perniagaan mereka.

“Pendekatan kami merangkumi bantuan yang disesuaikan, kerjasama strategik, akses kepada pembiayaan, serta penyelesaian e-invois berpatutan atau percuma (freemium) berasaskan rangka kerja Peppol, yang menjadikan pendigitalan lebih mudah dicapai sambil menggalakkan PMKS untuk berkembang di pasaran tempatan dan global,” katanya.

Rizal pula berkata, kerjasama antara SME Corp. Malaysia dan MDEC bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pendigitalan dalam kalangan PMKS melalui inisiatif transformasi digital yang direka secara kolaboratif.

“Peranan kami di SME Corp. Malaysia adalah untuk memastikan PMKS tidak ketinggalan dalam dunia ekonomi digital. Dengan menjalinkan kerjasama bersama MDEC, kami mewujudkan ekosistem yang lebih bersepadu dan bersasar bagi menangani cabaran dihadapi oleh PMKS,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, 21 Penyedia Perkhidmatan e-Invois yang diiktiraf oleh MDEC akan menawarkan penyelesaian e-invois secara freemium dan berpatutan untuk PMKS. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan