KERAJAAN memutuskan untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 6 sen kepada RM3.19 seiring dengan penurunan harga pasaran minyak mentah dan pengukuhan ringgit.
Kementerian Kewangan berkata, turut dikurangkan harga bahan bakar melibatkan diesel bagi Semenanjung, juga 6 sen kepada RM2.95.
Menurut MoF, kedua-dua penuruan harga tersebut bagi tempoh 19 hingga 25 September.
“Sejak 8 Ogos 2024 sehingga kini, Kerajaan telah menurunkan sebanyak 40 sen seliter harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 28 sen.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit produk petroleum dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global dan juga menyokong kestabilan harga bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata kenyataan MoF hari ini.
Sementara itu harga petrol RON95 dan diesel bagi pasaran Sabah, Sarawak serta Labuan kekal kepada RM2.05 dan RM2.15. – Edisi 9