26 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 16, 2024

Nadia Natasha ajak rakan-rakan Generasi Z intai peluang

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

NADIA Natasha Mohd Said merupakan mahasiswa tahun kedua jurusan farmasi di Universiti Malaya sememangnya individu yang tidak kekok di hadapan kamera.

Gadis berusia 23 tahun itu berkata, ramai yang mencadangkan agar dia bekerja separuh masa sebagai peragawati bagi menambah wang saku, namun minat dan cita-citanya buat masa ini masih belum terbina ke arah itu.

Percubaannya yang paling menghampiri dunia peragaan, ialah apabila dia diberi peluang menjadi duta produk tudung sukan LaSports.

“Walaupun banyak yang saya pelajari mengenai dunia peragaan ketika itu, terutamanya mengenai pengenaan gaya di hadapan kamera, tatarias, dan jadual seorang model profesional, namun hati saya masih belum terbuka untuk mencubanya, baik secara separuh atau sepenuh masa,” kata anak kelahiran Johor Bahru ini.

Mengulas lanjut, Nadia sebenarnya hanya ada satu keinginan yang ingin dicapainya buat masa ini, dan keinginan itu memerlukan komitmen masa yang tinggi darinya.

Nadia Natasha aktif dalam sukan futsal.

Keinginan yang dimaksudkan oleh anak ketiga dari empat beradik ini ialah untuk menjadi seorang usahawan farmasi yang berjaya pada suatu masa nanti.

“Komitmen yang diperlukan untuk menggapai cita-cita ini amat tinggi, terutamanya dalam membahagikan masa di antara tugasan akademik dan kegiatan luar bilik kuliah yang bakal membentuk diri sebagai seorang graduan yang holistik,” jelasnya.

Nadia bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik sejak bangku sekolah, malah turut meneruskan jejak kecemerlangannya di universiti.

Penerima anugerah Pelajar Cemerlang SPM Negeri Johor 2018 dan Tokoh Pelajar SMK Sultan Ismail 2018 ini sehingga kini turut cemerlang di universiti dengan mengekalkan gred purata terkumpul yang tinggi, selain aktif dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum.

Dari sukan futsal, program sukarelawan, sehinggalah lakonan teater, Nadia sentiasa mencari ruang mempelajari sesuatu yang baharu dan mencabar dirinya dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Saya memang sukakan cabaran dalam melakukan sesuatu yang baru, namun saya pastikan yang saya akan berikan yang terbaik. Untuk futsal, saya telah mewakili UM sehingga ke pelbagai kejohanan di Sarawak dan Pulau Pinang.

Nadia Natasha turut aktif sebagai sukarelawan bagi mendekatkan dirinya dengan masyarakat.

“Manakala untuk lakonan teater saya turut membantu Kolej Kediaman Kedua untuk mendapat tempat dalam Karnival Teater UM,” kata penggemar ayam masak merah ini.

Advertisements

Paling menarik, baru-baru ini Nadia telah memulakan satu lagi hobi baru di celah kesibukan jadual hariannya, iaitu mengait.

“Saya hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk mahir mengait, dan kini boleh menghasilkan pelbagai jenis produk seperti bekas mekap dan tas tangan,” kata Nadia sambil menunjukkan tas tangan kecil berwarna hijau yang baru disiapkan untuk dijual secara dalam talian menerusi media sosial miliknya.

Jiwa keusahawanan di dalam dirinya sememangnya telah wujud sejak kecil, apabila pernah menjual gelang tangan dan tag nama di sekolah rendah, dan ais krim, kek, dan tudung di sekolah menengah.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan sifat keusahawanan ini saya dapati dari kedua ibu bapa saya yang sentiasa menyokong usaha saya yang sentiasa mahu melakukan sesuatu yang baru sejak dahulu,” kata Nadia lagi.

Menjadikan Malala Yousafzai, aktivis dari Pakistan yang diangkat sebagai penerima Anugerah Nobel termuda, sebagai suri teladannya, Nadia menyeru kepada semua belia untuk menanamkan rasa tidak mudah putus asa apabila berhadapan dengan cabaran dalam melakukan sesuatu perkara.

“Apabila kita sudah menetapkan hala tuju yang ingin dicapai, termasuklah apabila mencuba perkara baharu seperti mengait atau berlakon teater, jangan kita sesekali mudah berputus asa apabila dicabar dengan halangan yang menimpa.

Memasang impian untuk mewujudkan rangkaian farmasi sendiri.

“Ini kerana cita-cita itu milik kita, dan kita hanya mengecewakan diri sendiri jika tunduk dengan mudah dengan cabaran yang sentiasa menanti.”

“Sifat tidak mudah putus asa ini secara tidak langsung juga mampu menjadi senjata ampuh generasi muda dalam menangani cabaran paling utama dunia digital hari ini, iaitu kesejahteraan mental.

“Ditambah dengan kemahiran menguruskan masa, dan keinginan untuk menjadi versi diri yang terbaik, saya yakin majoriti Generasi Z seperti saya mampu menjadi penyumbang yang positif kepada masyarakat,” kata Nadia panjang lebar.

Untuk gadis yang bercita-cita mempunyai rangkaian farmasinya sendiri satu hari nanti ini, tiada yang mustahil di dalam hidup.

“Jadikan setiap hari ruang dan peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

“Sentiasalah mengintai peluang untuk membentuk diri menjadi orang yang wujud di dalam impian dan cita-cita kita dalam setiap yang kita lakukan, hatta apabila kita meluangkan masa untuk hobi kita pada waktu lapang,” katanya.

Advertisements

Terkini

Penjawat awam ditahan buat buat komen jelik 3R di Tiktok

SEORANG penjawat awam ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung komen jelik melibatkan 3R (agama, bangsa dan raja) yang...

Lagi Artikel Berkaitan