33.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Aisyah Maisarah bergelumang dengan lalat demi kejar cita-cita

Mesti Baca

AISYAH Maisarah Abdul Razak ini adalah anak bongsu daripada tiga beradik ini merupakan mahasiswa tahun ketiga kursus bioteknologi di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

Selain aktif di kampus, dia yang bercita-cita menjadi usahawan sudah pun mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan sejak berumur lapan tahun.

Malahan dia kini menguruskan bukan satu malah lima jenis perniagaan pada masa lapangnya.

“Sejak kehilangan arwah ayah pada tahun 2013, kami sekeluarga sudah biasa melakukan pelbagai kerja untuk mencari pendapatan tambahan.

“Disebabkan pandemik COVID-19, saya dan ibu mula mengusahakan perniagaan bakeri secara kecil-kecilan dari rumah.

“Kami mendapat banyak tempahan kek brownies dan roti dari warga setempat ketika itu yang tidak dapat keluar rumah kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

Aisyah Maisarah diiktiraf sebagai Usahawan Sosial oleh Universiti Malaya.

“Kemudian, saya mula membekalkan produk bakeri kepada kedai-kedai di kolej kediaman Universiti Malaya,” kata Aisyah Maisarah yang mesra dipanggil Sera.

Anak jati Kuala Lumpur dari Cheras ini sememangnya komited dalam mengejar cita-citanya menjadi seorang usahawan, sehingga memberi kesan kepada pemilihan kursus pengajiannya di UM.

“Saya memilih jurusan bioteknologi, kerana setelah membuat pembacaan, bidang inilah yang paling berpotensi untuk saya aplikasikan untuk menjadi usahawan dalam bidang biologi, berbanding cabang jurusan sains yang lain.

“Melalui silibus bidang bioteknologi yang praktikal, saya berpeluang untuk membangunkan produk saya sendiri untuk dipasarkan kelak,” katanya dengan penuh yakin.

Menjadikan CircleDNA, syarikat yang menawarkan kit ujian DNA sebagai idola dalam perusahaan bioteknologi sejak beliau berumur 17 tahun, Sera berimpian produk pertamanya berkemungkinan besar berkisar di sekeliling satu spesies lalat yang istimewa, Black Soldier Fly (BSF).

Advertisements
Black Soldier Fly

“BSF adalah spesies yang menarik kerana pada fasa larvanya, serangga ini mampu memakan sehingga berkali ganda saiz badannya dalam masa yang singkat.

“Ini menjadikannya sumber protein yang sangat baik untuk pemakanan haiwan ternakan seperti ayam, itik, ikan, dan juga haiwan peliharaan, termasuklah haiwan eksotik.

“Menariknya, larva BSF ini akan memakan apa sahaja sisa organik, termasuklah sisa makanan. Ini menjadikannya satu penyelesaian yang mampan untuk masalah pengurusan sisa yang kita hadapi, terutamanya pembaziran makanan yang sangat kritikal di Malaysia,” terang penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman ini.

Katanya, berbeza dengan spesies lalat yang biasa dilihat menghurung sampah-sarap dan membawa penyakit, BSF bukanlah vektor penyakit atau serangga perosak bahkan ia dikenali sebagai ejen pengurai sisa organik.

“Ini membolehkan larva BSF digunakan sebagai pencerna sisa makanan kita, di samping menjadi makanan haiwan ternakan yang selamat. Sisa buangan atau frass larva itu pula boleh digunakan sebagai baja tanaman.

“Sebagai seorang usahawan sosial, saya sangat teruja apabila menyedari idea ini boleh diadaptasikan secara besar-besaran di kampus universiti sebagai satu ekosistem ekonomi kitaran kerana UM mempunyai lebih 20 kafeteria dan juga ladang haiwan ternakan sendiri,” tambahnya lagi.

Sera mengakui minatnya di dalam perusahaan larva BSF ini dicetuskan oleh Dr. Norhidayah Mohd Taufek, penyelidik di Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains UM yang memfokuskan penyelidikannya di dalam ekosistem BSF dan impaknya kepada alam sekitar.

Larva lalat yang diusahakan oleh Aisyah Maisara di kampusnya.

“Buat masa ini, di bawah seliaan Dr. Norhidayah, kami sedang mengusahakan untuk membina sebuah perusahaan sosial (social enterprise) BSF di Ladang Mini ISB yang terletak di UM,” katanya.

Aisyah Maisarah berkata, selain proses membiak larva BSF untuk kegunaan makanan haiwan ternakan di ladang ini, dia juga bercita-cita untuk mempromosikan kit ternakan BSF kepada sekolah dan universiti lain sebagai usaha untuk menyokong SDG 12.

“Saya pasti pengalaman saya menerokai keseluruhan proses dari pembiakan sehinggalah ke pemasaran larva BSF ini akan mempersiapkan saya untuk menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya satu masa nanti,” katanya.

Advertisements

Terkini

10 mahasiswa UM sertai program selamatkan sayur-sayuran

SERAMAI 10 mahasiswa Asasi Sains Sosial dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) telah menyertai program menyelamatkan sayur-sayuran dan...

Lagi Artikel Berkaitan