27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Hanya makan biskut seminggu buat Irma Hasmie sebak

Mesti Baca

KESEMPITAN hidup insan-insan di luar sana, termasuk keluarga yang hanya makan biskut pemberian orang ramai atau bayi yang diberikan susu pekat membuatkan selebriti, Irma Hasmie Ibrahim sebak.

Menurut pelakon tersebut, banyak yang dia belajar daripada pengalaman menyantuni golongan memerlukan khususnya wanita dan kanak-kanak, baik di dalam mahupun di luar negara.

“Sebelum ini, saya tak tahu pun apa itu kemanusiaan. Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) adalah NGO pertama yang memperkenalkan saya dengan dunia kesukarelawanan ini.

“Saya selalu berdoa semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik buat saya, agar saya dapat membantu dan memberi lebih banyak lagi manfaat kepada orang lain.

“Saya tak sempurna, saya pun banyak salah, banyak dosa. Jadi, saya harap Allah dapat terima usaha-usaha yang saya lakukan ke arah kebaikan ini,” kata Irma Hasmie.

Ikon Kemanusiaan IR Malaysia itu berkata, di luar sana terlalu ramai yang memerlukan bantuan dan kita tidak akan mampu untuk lakukan semuanya sendiri sebaliknya kita mesti bersatu dan bersama-sama membantu mereka.

Sempena Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi, Irma mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu dan berkongsi rezeki khususnya kepada penduduk di Gaza, Palestin dan negara konflik lain seperti Syria dan Yaman menerusi bantuan pek makanan Rezeki Ramadan anjuran IR Malaysia.

Mohd Syukor Tahir (tengah) menyampaikan sumbangan pak makanan Ramadan kepada salah seorang penerima di Pulau Pinang tahun lalu.

“Mungkin bagi kita, satu pek makanan itu tiada apa-apa, tetapi bagi mereka yang sedang diuji, bantuan ini cukup bermakna.

“Teringat luahan ibu tunggal pelarian Syria yang saya temui di Gaziantep, sempadan Turkiye tahun 2020 dahulu, dalam keadaan terdesak anak-anak terpaksa tidur dengan perut yang kosong seharian.

“Jika ada sedikit makanan, terpaksa dicatu untuk disuap seorang sedikit. Biasanya, si ibu akan mengalah dan hanya menjamah sesuap dua sahaja,” kongsi Irma Hasmie

Pengalaman melihat sendiri kesusahan insan lain di beberapa buah negara termasuk Malaysia, Filipina, Turkiye dan Bangladesh membuatkan Irma tekad untuk membantu seramai mungkin bagi menjalani bulan Ramadan ini dengan sempurna.

Advertisements

Bagi memastikan kejayaan misi bantuan, IR Malaysia telah melancarkan kempen Rezeki Ramadan dengan slogan #gandakanpahala pada 12 Januari lalu bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM2.25 juta bagi pelaksanaan agihan pek makanan di 10 buah negara termasuk Malaysia.

Terdapat dua pakej yang ditawarkan iaitu Pek Makanan RM250 dan Pek Makanan RM350. Selain itu, orang ramai juga membuat sumbangan sedekah Ramadan serendah RM10.

Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, secara global, Islamic Relief telah melaksanakan program bantuan Ramadan ini selama hampir empat dekad.

“Setiap tahun menjelang bulan Ramadan, semua pejabat lapangan Islamic Relief di seluruh dunia akan membuat agihan bantuan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk meringankan beban mereka dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur ketika bulan Ramadan.

“Selama bertahun-tahun program ini dijalankan, kami dapati bahawa masih ada keluarga yang terpaksa mengikat perut dan menahan keinginan untuk mencuba pelbagai jenis makanan sewaktu berbuka dan bersahur hanya kerana mereka tidak cukup wang untuk membeli,” katanya.

Tambah Mohd Shukor, setiap pek makanan Ramadan yang diagihkan, dilengkapi dengan makanan asas atau makanan ruji penerima bantuan mengikut negara masing-masing seperti beras, tepung, jagung, pasta, bijirin, kekacang, daging dalam tin, minyak masak, gula, teh dan kurma.

Selain agihan pek makanan, IR Malaysia turut menggunakan kaedah baucar tunai terutama untuk kawasan-kawasan yang mempunyai kemudahan pasar raya yang mudah diakses.

Tahun ini, IR Malaysia bakal mengagihkan pek makanan atau baucar tunai kepada 6,051 keluarga di Malaysia dan 1,300 keluarga di sembilan negara lain; Palestin (Gaza), Syria, Yaman, Lubnan, Afghanistan, Somalia, Indonesia, Bangladesh dan Filipina.

“Kami amat berbesar hati untuk menerima sumbangan pakej Rezeki Ramadan daripada orang ramai dan kepada yang berminat, boleh menghubungi pejabat IR Malaysia di 03-8926 3434 atau melayari www.islamic-relief.org.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan