KOLEJ Universiri Antarabangsa MAIWP (UCMI) memperkenalkan modul baharu bagi meningkatkan kebolehpasaran graduannya pada masa depan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UCMI, Prof. Madya Dr. Nurul Aliah Mustafa berkata, modul yang dinamakan SUPERB itu merangkumi nilai Superior, Ummah-professional, Excellence, Rabbani dan Budi.
Beliau berkata, modul SUPERB itu berpaksikan pula kepada tiga teras utama iaitu Holistik, Profesional dan Kemanusiaan.
“Modul SUPERB adalah satu modul pembangunan mahasiswa yang bertujuan memperkukuhkan pendekatan holistik, profesional dan kemanusiaan bagi membangunkan mahasiswa yang dinamik dan berkualiti sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Beliau berkat demikian dalam majlis Liqa’ Jama’ie di UCMI Kampus Batu Muda di ibu negara, semalam.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UCMI, Datuk Prof. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.
Nurul Aliah berkata, apa yang diharapkan modul yang dibangunkan itu dapat meningkatkan pembangunan diri mahasiswa untuk melahirkan graduan yang serba boleh dan serba lengkap.
“Modul ini juga bertujuan menggabung jalin di antara pencapaian akademik dan kokurikulum agar dapat melahirkan mahasiswa yang berdaya maju dan bertaraf global,” katanya.
Jelas beliau, SUPERB juga beriltizam melahirkan graduan holistik yang mampu berfikir secara kritis, meneroka dan mewujudkan jaringan kerjasama dan memiliki sifat profesionaliame.
Katanya, ini sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduan yang lebih tinggi hingga ke peringkat antarabangsa. – Edisi 9

