PROGRM realiti bola sepak, The Next Supermokh yang disiarkan menerusi RTM mulai hari ini merupakan sentuhan terakhir paling berharga Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah.
Ini kerana program realiti yang berakhir pada Mac 2023 di Thailand dikendalikan oleh bekas jurulatih bola sepak Kedah itu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 Februari lalu pada usia 71 tahun.
Pengarah dan Penerbit program tersebut, Datuk Jasni Shafie berkata, Allahyarham yang mesra disapa Coach Azraai itu berjaya mencungkil bakat-bakat ubi muda untuk digilap.
Beliau berkata, lebih 1,500 pemain menyertai ujian di empat zon di seluruh negara dan 36 pemain telah dipilih ke latihan pusat.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 18 pemain dibentuk untun dibawa ke Thailand bagi menyertai latihan pendedahan antarabangsa serta menentang pasukan akademi kelab Liga 1 Thailand, PT Prachuap FC.

“Kami berbangga dengan program pencarian bakat muda ini. Lebih membanggakan ialah beberapa pemain yang dipilih dan digilap oleh Coach Azraai telah mendapat tempat dalam pasukan Piala Presiden dan Belia kelab-kelab di tanah air seperti Melaka, Perlis dan Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pra-tonton episod pertama The Next Supermokh di House Of Sang Kenari di Alor Star, Kedah hari ini.
Majlis sebagai mengenang penghargaan Allahyarham Mohd Azraai itu turut dihadiri oleh balu dan ahli keluarga Allahyarham, tenaga kejurulatihan program sehingga mencetuskan suasana hiba.
Jasni berkata, segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan oleh Allahyarham Azraai dalam program itu akan menjadi peninggalan dan panduan berguna yang akan ditonton oleh jutaan pemain, penyokong dan peminat bola sepak seluruh negara, terutama para pemain muda.
“Ia akan menjadi suatu dokumentasi yang amat berharga untuk generasi akan datang kerana dalam program ini Allahyarham berkongsi segala ilmu yang dimiliki kepada pemain-pemain di bawah bimbingannya,’’ katanya.
The Next Supermokh yang mengambil sempena nama legenda bola sepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari itu merupakan program 60 minit selama 13 episod.
Program ini akan disiarkan oleh RTM pada setiap Sabtu pukul 4 petang dan ulangannya pada setiap Khamis pukul 9 malam bermula hari ini. – Edisi 9

