JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya 14 individu dan merampas dadah bernilai RM11.6 juta dalam beberapa siri serbuan di sekitar Johor Babru, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan serta masing-masing enam lelaki dan enam perempuan warga asing.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut pelbagai jenis dadah turut dirampas antaranya serbu ekstasi, syabu, ketamin, pil ekstasi, pil erimin 5 dan MDMA.
“Pihak polis turut merampas bahan-bahan kimia dan peralatan memproses serta membungkus dadah.
“Peralatan itu dijumpai di unit kondominium dan rumah teres yang disewa oleh sindiket dadah tersebut untuk menjalankan kegiatan haram mereka,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar; Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) DCP Afandi Senin dan Timbalan Ketua Polis Johor, SAC Mohd Rozi Jidin.
Kok Chin berkata, pada masa yang sama, pihaknya juga bertindak menyita pelbagai aset kepunyaan sindiket dadah tersebut.
Ini termasuk enam buah kereta pelbagai jenama, 11 utas jam tangan berjenama, barang-barang kemas dan wang tunai kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
“Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua saspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.
JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan anda melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – Edisi 9

