31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, June 17, 2024

Penyasaran subsidi diesel beban bertimpa-timpa kepada rakyat

Mesti Baca

KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel bagai menambah beban bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung oleh rakyat pada satu masa.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menunjukkan beliau tidak prihatin terhadap keluhan rakyat.

Sebaliknya, kata Muhyiddin, Anwar tetap meneruskan pelaksanaan rasionalisasi subsidi tersebut sedangkan kerajaan baru melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik dan cukai barang bernilai rendah pada Januari 2024, kenaikan tarif air pada Februari dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada Mac.

“Saya teliti maklum balas rakyat di media sosial rata-ratanya kesal dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai penyasaran subsidi diesel yang kemudiannya akan disusuli dengan RON95.

“Ramai yang secara sinis menyinggung Perdana Menteri yang dahulunya berjanji akan menurunkan harga minyak. Namun, realitinya tidak begitu.

“Apabila menjadi Perdana Menteri, beliau menarik balik subsidi yang akan menyebabkan kenaikan harga minyak.

“Secara lebih serius, ramai yang mempersoalkan kesan penarikan balik subsidi ini ke atas kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Ini suatu kebimbangan yang berasas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu ketika menyampaikan Perutusan Negara, Anwar berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Diesel – Gambar Hiasan/Caltex Malaysia

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan seharian.

Menurutnya, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

Advertisements

Muhyiddin berkata, apa yang lebih mengecewakan, Anwar tidak memberikan penjelasan secara terperinci bagaimana isu beban kos sara hidup rakyat akan ditangani secara tuntas akibat penarikan balik subsidi diesel.

Katanya, apa yang diumumkan hanyalah bantuan yang akan diberikan kepada beberapa golongan pemilik kenderaan tertentu tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Soalnya bagaimana pula dengan kesan penarikan balik subsidi diesel ke atas seluruh rantaian bekalan, apakah langkah komprehensif yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanganinya namun tidak dijelaskan.

Tegas beliau, apa yang rakyat ingin tahu sekarang apakah pakej-pakej bantuan yang akan diterima oleh mereka hasil daripada penjimatan subsidi.

“Diumumkan juga penarikan balik subsidi ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM4 bilion. Tidak ada penjelasan secara terperinci bagaimana hasil penjimatan ini akan dibelanjakan oleh kerajaan.

“Saya perhatikan angka-angka ekonomi yang dinyatakan oleh Perdana Menteri seperti kadar pertumbuhan ekonomi, nilai pelaburan dan inflasi tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat di bawah.

“Bayangkan jika penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95 tidak ditangani dengan cekap dan berkesan oleh kerajaan, kenaikan kos sara hidup rakyat akan berlaku dengan lebih mendadak,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, disebabkan itu semasa berucap di Parlimen pada bulan Mac yang lalu, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya menangguhkan dahulu pelaksanaan rasionalisasi subsidi khususnya bagi diesel dan petrol.

Jelasnya, ini memandangkan rakyat sedang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit yang memberi kesan langsung ke atas kos sara hidup.

“Rata-rata rakyat masih mengeluh mengenai kesukaran yang terpaksa mereka hadapi akibat kenaikan kos sara hidup,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Rakyat marah bukan penyelarasan subsidi tapi soal janji

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, kemarahan rakyat kepada kerajaan hari ini bukan kerana melaksanakan penyasaran subsidi...

Lagi Artikel Berkaitan