DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mengutuskan ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto yang telah dipilih sebagai Presiden Indonesia yang baharu.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau percaya hubungan bersaudara di antara Malaysia dan Indonesia akan terus erat, lebih-lebih lagi dalam usaha meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan, melalui jalan perpaduan, pelaburan dan perdagangan.
“Saya doakan Pak Prabowo dapat melaksanakan amanah memimpin dengan baik dan memacu Indonesia ke arah kecemerlangan. Mudah-mudahan dipermudahkan olehNya. Insya-Allah ketemu nanti,” kata beliau menerus hantaran di Facebooknya hari ini.
Prabowo Subianto dipilih sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) sekali gus menewaskan dua pesaingnya yang kini berikrar untuk memfailkan aduan undang-undang mengenai undian itu.
Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari berkata Prabowo yang juga Menteri Pertahanan dan gandingannya selaku naib presiden, Gibran Rakabuming Raka menerima lebih 96 juta undi atau kira-kira 58.6 peratus daripada jumlah keseluruhan dan cukup untuk memperoleh majoriti pusingan pertama.
Dua pencabarnya iaitu Anies Baswedan pula memperoleh hampir 41 juta undi atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala Ganjar Pranowo menerima 27 juta undi atau lebih 16 peratus.
Prabowo dan Gibran yang juga anak sulung kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo sudah diisytihar menang bulan lalu selepas kiraan tidak rasmi menunjukkan mereka memenangi majoriti. – Edisi 9