31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’ dihalang masuk – Johari

Mesti Baca

SEMUA produk dari luar negara yang mempunyai label ‘Tanpa Minyak Sawit’ akan dihalang daripada dibawa masuk ke negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menghalang kemasukan produk-produk bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit.

Beliau berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti produk berlabel diskriminasi terhadap minyak sawit yang berada di negara ini.

Katanya, hasil kaji selidik tersebut sebanyak 80 daripada 251 premis yang ditinjau di sekitar Lembah Klang didapati memaparkan produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’.

“Dalam tinjauan tersebut, ada produk import dari luar negara yang tidak ada kena mengena dengan sawit tetapi meletakkan label ‘Tanpa Minyak Sawit’ di produk mereka sebagai bentuk mempromosi diskriminasi kepada sawit.

“Kita mempunyai undang-undang yang menyatakan mana-mana diskriminasi produk khususnya kepada kelapa sawit, boleh didenda RM250,000.

Advertisements

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menjalankan penguatkuasaan dan mengenakan tindakan serta merta di pasar raya yang memasarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara FGV Holdings Berhad dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa dan Pengerusi MSPO, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MSPO, Mohd Shahari Idris.

Mengenai MoU yang dimeterai oleh FGV dan MSPO itu, Johari berkata, ia menggambarkan inisiatif yang signifikan dalam mempromosikan MSPO.

Katanya, mengguna pakai logo MSPO di label bungkusan minyak masak SAJI membuktikan komitmen kepada pematuhan piawaian kemampanan serta peningkatan reputasi jenama produk FGV sebagai pengeksport minyak sawit Malaysia ke negara luar.

“Langkah ini juga dapat meluaskan penjenamaan MSPO di peringkat domestik dan antarabangsa, sekaligus memperkukuhkan komitmen negara untuk menjadi negara pengeluar sawit yang mampan di dunia,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan