27.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Lima perkhidmatan logistik diberi pengecualian cukai

Mesti Baca

SEBANYAK lima perkhidmatan logistik diberikan pengecualian cukai perkhidmatan bagi mengurangkan kesan cukai berganda ke atas pengguna.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkhidmatan logistik tersebut ialah aktiviti transhipment, aktiviti transit, pintu ke pintu serta penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang.

“Bagi mengurangkan impak negatif kepada operasi harian aktiviti logistik, kerajaan juga telah memberi kemudahan pengecualian antara perniagaan (B2B) di mana penyedia perkhidmatan logistik tidak perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan komponen perkhidmatan logistik yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau sebelum itu berucap menggulung Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata, berdasarkan maklum balas dan pandangan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen, kerajaan kini bersetuju supaya skop pengecualian B2B perkhidmatan logistik diperluas untuk meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran yang sama.

Katanya, ini untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata (cascading effect) daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik.

Perkhidmatan logistik dari pintu ke pintu (door-to-door) antara diberi pengecualian cukai perkhidmatan. – Gambar hiasan

“Sebagai contoh, dengan peluasan skop pengecualian B2B ini, penyedia perkhidmatan penghantaran fret bukan sahaja mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan fret tetapi turut layak mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan lain seperti penggudangan, pelabuhan, perkapalan, dan kemudahan rantaian sejuk yang berada dalam butiran sama dengan perkhidmatan fret tersebut,” katanya.

Advertisements

Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024, perkhidmatan logistik dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6 peratus mulai 1 Mac 2024.

Amir Hamzah berkata, sehingga kini pihaknya telah mengadakan 25 sesi libat urus dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dan akan meneruskannya terutama dari sektor logistik.

Katanya, ini bagi memuktamadkan pindaan ke atas Garis Panduan bagi membolehkan ia dikuatkuasakan.

“Kerajaan memahami keperluan pemain industri untuk mempunyai masa yang mencukupi dalam meminda sistem pengkomputeran mereka.

“Sehubungan itu, penyedia perkhidmatan logistik yang baharu berdaftar diberi tempoh sebulan persediaan dan akan hanya mengenakan cukai perkhidmatan 6 peratus mulai 1 April 2024,” katanya.

Amir Hamzah berharap layanan khas yang diberikan ini dapat terus menyokong pertumbuhan sektor logistik negara dan pada masa yang sama memastikan pengguna termasuk peniaga tidak terbeban. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kardinal lancar koleksi vape edisi Lumina kurang nikotin

JENAMA rokok elektronik atau vape, Kardinal tampil memperkenalkan koleksi terbaharu mereka iaitu Lumina. Lumina didatangkan ekslusif dalam edisi Raya Discovery Pack Untuk Lumina yang...

Lagi Artikel Berkaitan