POLIS Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 ahli Parlimen yang menolak kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau bimbang wujudnya scammer (penipuan) politik oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengucar-kacir negara.
“Isunya bukan kerajaan takut kepada Langkah Dubai. Isunya PDRM kena siasat betulkah wujud SD 120 nama yang kononnya dihantar kepada YDP Agong.
“Apakah SD 120 nama itu perbuatan ‘scammer politik’ yang mahu kucar- kacirkan kestabilan negara? Sanusi (Menteri Besar Kedah) percaya pada senarai itu. Raja Petra Kamaruddin pula guna nama itu untuk babitkan Istana,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Mohd Puad berkata, siasatan juga perlu dilakukan untuk memastikan senarai nama yang didakwa terkandung di dalam SD tersebut dibuat tanpa kerelaan atau sebaliknya.
“Sebab itu PDRM kena siasat. Mana tahu ada yang tersenarai tanpa kerelaan. Apakah ada pesuruhjaya sumpah terlibat? Kena siasat takut “scammer politik” berleluasa,” katanya.
Raja Petra Kamaruddin atau dikenali RPK yang kini menetap di United Kingdom mendakwa Istana Negara telah menerima SD 120 nama ahli-ahli Parlimen untuk menukar kerajaan.
Dia turut mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah meminta cadangan tiga nama calon Perdana Menteri yang baharu.
“Menurut RPK Langkah Dubai itu gagal kerana Bersatu kebudak-budakan, tidak matang, lambat dan mahu berahsia. Pokoknya mereka percaya SD 120 itu wujud,” kata Mohd Puad.
Semalam, sebanyak 13 laporan polis telah dibuat Pemuda PKR (AMK) di peringkat negeri terhadap dakwaan yang dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Raja Petra Kamaruddin berhubung rancangan menjatuhkan kerajaan.
Dalam kenyataan di Facebook semalam, AMK berkata, laporan polis telah dibuat oleh kepimpinan pusat serta MK Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Penang, Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah, Melaka dan Sabah. – Edisi 9

